SELANGOR FC
BERITA

RASMI : Herlison Caion Is RED!

Dec 27, 2021 - FAS

Penyerang kelahiran Brazil, Herlison Caion de Sousa Ferreira hari ini secara rasmi diumumkan sebagai pemain import terbaru ketiga Gergasi Merah untuk menghadapi saingan Liga Malaysia bagi musim 2022.
 
Berasal dari Caxias, Brazil, beliau mula menjinakkan diri dalam kancah bola sepak Asia sejak berusia 19 tahun lagi dengan bermain di Liga Korea bersama Gangwon FC dan kembali bermain pada di Korea Selatan tahun 2018 bermain di Daegu FC.

Beliau terus melebarkan sayapnya di saingan Liga Thailand selama empat musim dari 2019 hingga 2021 bersama Navy FC, PT Prachuap FC, Chonburi FC, Suphanburi FC dan Muangkan United dengan mencatatkan jumlah keseluruhan 85 penampilan, 34 gol dan 13 bantuan gol.

Dengan pengalaman dan kebolehan yang dimilikinya, penyertaan Caion ke kem Gergasi Merah merupakan sesuatu yang positif menurut ketua jurulatih Selangor FC, Michael Feichtenbeiner.  

"Saya gembira kami dapat menandatangani dan meyakinkan Caion untuk berpindah dari Thailand ke Malaysia. Beliau telah menjadi pemain yang dikenali dan terbukti kebolehannya dalam bola sepak Thailand sejak 4-5 tahun yang lalu,

"Dengan gaya bola sepaknya, beliau boleh menyesuaikan diri dengan bola sepak peralihan yang kami mahu mainkan. Kami memerlukan pemain yang boleh menjaringkan gol dan dengan pengalamannya menjaringkan banyak gol di Asia Tenggara, saya mempunyai perasaan yang baik dan keyakinan sepenuhnya kepadanya," kata Michael.

Pemain penyerang berketinggian 184cm ini juga mahu berusaha untuk bersama-sama mencapai perancangan yang kelab telah tetapkan.

"Mengikut rancangan yang disampaikan kepada saya, kelab ini akan berusaha untuk mencapai kejayaan bersama. Saya percaya musim ini akan menjadi tahun dimana kelab akan mendapat pencapaian yang hebat kerana saya yakin kita mampu mendapatkannya," ujar Caion.

Selangor FC mengucapkan selamat datang kepada Herlison Caion. Semoga beliau dapat mengukuhkan barisan serangan pasukan Gergasi Merah untuk Liga Malaysia musim ini.
 
Caion merupakan pemain terbaru keenam yang diperkenalkan untuk membarisi pasukan utama selepas Selangor FC memperkenalkan Samuel Somerville, Yazan Al-Arab, Baha' Abdelrahman, Zahril Zabri dan Fazly Mazlan baru-baru ini.

Selamat datang ke Gergasi Merah, Caion!

Teruskan bersama media sosial Selangor FC untuk mendapatkan info-info terkini mengenai persediaan pasukan untuk musim hadapan.

Demi Kebanggaan!