SELANGOR FC
BERITA

RASMI : Zahril Zabri Is RED!

Dec 25, 2021 - FAS

Pemain tengah berusia 22 tahun, Zahril Azri Zabri hari ini secara rasminya diumumkan sebagai pemain terbaru Gergasi Merah untuk menghadapi saingan Liga Malaysia bagi musim 2022.
 
Zahril merupakan antara tonggak utama Harimau Muda bawah 19 tahun dalam saingan Kejohanan Remaja B-19 AFF yang berjaya membantu pasukan tersebut muncul Naib Juara pada tahun 2017. Pada tahun seterusnya, pasukan yang sama berjaya menjulang trofi kejuaraan selepas menumpaskan Myanmar dengan keputusan 4-3.

Beliau terus mencatat kejayaan pada tahun yang sama, menjadi antara pemain muda penting pasukan Felda United yang berjaya membawa pasukan tersebut menembusi Liga Super setelah menjadi Johan saingan Liga Premier pada tahun 2018 di awal karier profesionalnya. 

Aksi yang baik dipamerkan oleh pemain berasal dari Pulau Pinang ini bersama Sarawak United telah membantu beliau sekali lagi melakar kejayaan menjadi antara watak utama di bahagian tengah pasukan dalam mencapai Naib Juara Liga Premier 2021 dengan 17 penampilan serta 3 bantuan gol.
 
Kembalinya Zahril ke pasukan Selangor FC musim 2022 adalah dengan hasrat yang tinggi untuk berusaha mencapai kejayaan bersama Gergasi Merah.

"Saya akan bekerja keras untuk memberikan persembahan yang baik dengan kelebihan yang saya miliki untuk mendapatkan kejayaan seperti menjulang piala bersama Selangor FC," kata pemain muda ini.

"Jika ada rezeki lebih, saya mahu bermain di peringkat lebih tinggi bersama pasukan ini seperti di saingan Piala AFC," tambahnya lagi.

"Saya harap semua dapat doakan kejayaan saya dan pasukan Selangor FC untuk musim 2022," kata Zahril sebelum menamatkan temubual.

Selangor FC mengucapkan selamat kembali ke kem Gergasi Merah kepada Zahril Azri Zabri. Semoga beliau dapat mengukuhkan barisan tengah pasukan Gergasi Merah untuk saingan Liga Malaysia musim ini.
 
Semoga berjaya Zahril!

Zahril merupakan pemain terbaru keempat yang diperkenalkan untuk membarisi pasukan utama selepas Selangor FC memperkenalkan Samuel Somerville, Yazan Al-Arab dan Baha' Abdelrahman.

Teruskan bersama media sosial Selangor FC untuk mendapatkan info-info terkini mengenai persediaan pasukan untuk musim hadapan.

Demi Kebanggaan!