Jul 26, 2026 - FASSkuad Selangor FC kini berada di Bangkok, Thailand bagi menjalani kem latihan pramusim sebagai persiapan menghadapi saingan Liga Malaysia yang bakal bermula pada Ogos ini.
Sepanjang kem ini, para pemain dijadualkan mengharungi empat aksi persahabatan tertutup menentang tiga kelab Thai League 1 dan satu kelab Hong Kong Premier League bagi menguji tahap kesediaan pasukan, selain memperkukuhkan keserasian dalam kalangan pemain menjelang musim 2026/27. Jadual perlawanan adalah seperti berikut:
- 28 Julai - lwn Ratchaburi FC
- 31 Julai - lwn Tai Po FC
- 4 Ogos - lwn Sukhothai FC
- 7 Ogos - lwn PT Prachuap FC
Selain aksi persahabatan, beberapa aktiviti team building turut dijalankan bagi memupuk semangat berpasukan serta mengeratkan hubungan dalam kalangan pemain, pegawai dan barisan kejurulatihan sebelum bermulanya saingan liga.
Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon, pramusim ini merupakan platform terbaik untuk memperkukuhkan identiti permainan Selangor FC menerusi penambahan pemain-pemain baharu, di samping memastikan pasukan berada pada tahap terbaik dari segi mental dan fizikal.
"Kem latihan pramusim ini adalah untuk membina semula corak permainan pasukan berdasarkan kekuatan skuad musim 2026/27 serta memastikan pemain-pemain baharu dapat menyesuaikan diri dan mencapai keserasian bersama pasukan secepat mungkin,”
“Ini merupakan langkah penting dalam membentuk identiti Selangor, dengan penekanan terhadap pembinaan keserasian, hubungan dan persefahaman yang kukuh, sama ada dari segi mental mahupun fizikal. Kita mahu setiap pemain memahami cara Selangor, saling mempercayai antara satu sama lain di atas padang, serta membina asas yang kukuh sebagai persediaan menghadapi musim baharu."
Pemain baharu (#IsRED) 2026/27: Selvan Anbualagan, Azam Azih, Adib Ra'op, Jefferson Tabinas,Eduardo Sosa & Peter Makrillos
Kim Pan-gon turut berharap para penyokong akan terus berdiri teguh di belakang pasukan sepanjang musim baharu, "Segala persiapan yang dilakukan adalah demi kelab dan juga para penyokong. Kita mahu berjuang bersama-sama serta mempertahankan kubu yang telah kita bina sejak musim lalu, di samping terus mengukuhkannya. Pasukan amat menghargai setiap sokongan yang diberikan dan berharap para penyokong akan terus berdiri teguh bersama kami sepanjang musim baharu."
Pihak pengurusan Selangor FC mendoakan agar kem latihan pramusim di Bangkok berjalan lancar dan mencapai segala objektif yang telah ditetapkan. Semoga tempoh persiapan ini dimanfaatkan sepenuhnya.
Demi Kebanggaan!