Jul 16, 2026 - FASKelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) hari ini mengumumkan perpisahan bersama pemain tengah, Noor Al-Rawabdeh, selepas tiga musim yang penuh bermakna dan sukar dilupakan bersama Gergasi Merah.
Noor meninggalkan kelab sebagai antara pemain tengah paling berpengaruh yang pernah menyarung jersi merah dan kuning. Hadir pada musim 2023, beliau segera menjadi tonggak penting di bahagian tengah pasukan. Dikenali mesra sebagai ‘The Engineer’, beliau bukan sahaja tenang di bawah tekanan serta bijak mengawal tempo permainan. Beliau juga memiliki keperibadian, profesionalisme serta sifat kepimpinan yang tinggi di dalam dan luar padang, menjadikannya antara pemain yang amat disenangi serta dihormati di kelab.
Musim pertamanya pada tahun 2023 menjadi permulaan kepada impak besarnya bersama pasukan, apabila beliau menjaringkan lima gol Liga Super dalam 22 penampilan, membantu Selangor FC menamatkan musim di tempat kedua liga serta melayakkan kelab ke AFC Champions League Two (ACL Two). Sejak hari pertama, Noor membawa kestabilan, keseimbangan dan keyakinan di bahagian tengah, menjadikannya antara tonggak utama dalam saingan domestik dan antarabangsa.
Sepanjang bersama Selangor FC, pemain kebangsaan Jordan ini mencatat 84 penampilan, 5,874 minit permainan, selain menyumbang sembilan gol dan 11 bantuan jaringan dalam semua pertandingan.
Antara detik paling tidak akan dilupakan dalam sejarah Selangor FC hadir pada aksi separuh akhir Piala FA 2024/25 menentang Terengganu FC. Dalam perlawanan penuh dramatik itu, Noor berdepan kecederaan serius di bahagian kepala yang memerlukan jahitan. Namun begitu, beliau tetap memilih untuk meneruskan permainan. Beliau kembali ke babak kedua dengan kepala berbalut dan berjaya menjaringkan gol penyamaan yang penting untuk pasukan.
Tidak lama selepas itu, perjalanan beliau bersama kelab turut diuji apabila mengalami kecederaan ligamen anterior cruciate (ACL) yang serius sehingga menamatkan musimnya lebih awal. Namun, disiplin serta komitmen tinggi dalam proses pemulihan menyaksikan beliau kembali lebih awal daripada jangkaan sekitar Jun 2025 untuk saingan Liga Super, selepas sempat beraksi dalam satu perlawanan mewakili Jordan dalam aksi kelayakan Piala Dunia FIFA 2026.
Di pentas antarabangsa, prestasi beliau bersama Selangor FC seiring dengan kejayaan bola sepak Jordan apabila membantu negara itu melakar sejarah mara ke perlawanan akhir Piala Asia 2023 serta seterusnya layak ke Piala Dunia FIFA 2026 dan kini sedang beraksi di pentas tersebut, membawa nama negara ke tahap yang lebih tinggi di pentas dunia.
Sepanjang bersama kelab, Noor bukan sahaja menjadi nadi penting di bahagian tengah, malah memainkan peranan besar sebagai figura yang membimbing pemain muda serta memberi keseimbangan kepada struktur pasukan. Karakter, ketenangan dan kepimpinan beliau di dalam serta luar padang akan terus terpahat dalam ingatan seluruh keluarga Selangor FC sebagai simbol dedikasi dan profesionalisme sebenar seorang pemain Gergasi Merah.
Selangor FC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Noor Al-Rawabdeh atas segala sumbangan beliau sepanjang bersama kelab. Beliau meninggalkan Gergasi Merah dengan penuh penghormatan, dan jasanya akan sentiasa dikenang sebagai sebahagian daripada sejarah moden kelab yang tidak ternilai. #ForeverRed
Demi Kebanggaan!