Nov 06, 2025 - FASSelangor FC secara rasmi mengumumkan penandatanganan pemain pertahanan tengah Mamadou Diarra menjelang kempen ACLTWO.
Dilahirkan di Dakar, Senegal, Diarra memulakan perjalanan bola sepaknya dalam bersama pasukan muda ASC Jaraaf, salah satu kelab terkemuka Senegal, di mana beliau mengembangkan bakatnya sebagai pemain pertahanan. Di peringkat antarabangsa, beliau mewakili pasukan kebangsaan Senegal B20 pada tahun 2017, memperoleh 10 penampilan merentasi Piala Negara-Negara B20 Afrika dan Piala Dunia B20 FIFA, dimana beliau juga berkhidmat sebagai kapten pasukan.
Pemain berusia 28 tahun ini menghabiskan sebahagian besar kerjaya profesional awalnya di Turki, bermain untuk Boluspor, Bursaspor, dan Giresunspor dari musim 2016 hingga 2022. Beliau membuat 125 penampilan dan menjaringkan 8 gol dalam Liga Pertama TFF dan Süper Lig, menjadikan dirinya sebagai pemain tunjang utama pasukan dan membantu Giresunspor layak ke divisyen pertama Turki selepas 44 tahun bertanding di liga kedua.
Pada September 2022, Diarra berpindah ke Perancis untuk menyertai Grenoble Foot 38 dalam Ligue 2, di mana beliau bermain selama tiga musim. Sepanjang bersama kelab tersebut, beliau berjaya membuat 87 penampilan dan menjaringkan 4 gol.
Teruja untuk bermain di Asia dengan barisan pemain yang berbakat, Diarra berkata, “Ini adalah kali pertama saya datang ke Asia selepas bermain di Perancis dan Turki. Secara jujurnya, saya sangat teruja untuk jadi sebahagian daripada kelab ini. Jurulatih ada bercakap dengan saya tentang pasukan dan rancangannya, membuatkan saya lebih bersemangat untuk bersama Gergasi Merah. Saya yakin jika kita sama-sama bekerja keras sebagai satu pasukan, kita pasti akan capai sasaran kelab. Saya akan berikan yang terbaik untuk mengatur dan berikan kata-kata semangat kepada rakan sepasukan dari belakang, di samping menambah karakter yang menarik dalam pasukan.”
Ketua jurulatih Red Giants, Christophe Gamel juga menyatakan harapannya terhadap Diarra, “Kami menandatangani beliau untuk kepimpinan dan pengalaman yang dimilikinya untuk di bawa ke posisi pertahanan. Kehadirannya akan menguatkan dan memperkukuhkan pertahanan pasukan.”
Diarra dibawa masuk ke dalam keluarga Gergasi Merah melalui kuota pendaftaran pemain tambahan berdasarkan peraturan AFC, yang hanya membenarkan pemain tanpa ejen. Kelab telah mendaftar beliau sebelum tarikh tutup pendaftaran iaitu pada 31 Oktober 2025, bagi memastikan skuad kekal kompetitif untuk perlawanan-perlawanan yang akan datang.
Selangor FC mengalu-alukan Diarra ke dalam keluarga Red Giants. Beliau sudah bersedia untuk menjadi nadi pertahanan dan mengawal gawang. #DiarraIsRed
Demi Kebanggaan!
Terus ikuti saluran media sosial rasmi Selangor FC untuk maklumat terkini pasukan.