SELANGOR FC
BERITA

Review Perlawanan LS3 | Selangor FC 4-0 Negeri Sembilan FC | Berjaya Memperoleh Tiga Mata

May 27, 2024 - FAS

Selangor FC mengakhiri perlawanan ke-3 Liga Super 2024/25 dengan kemenangan besar 4-0, menentang Negeri Sembilan FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya sebelum liga berehat untuk kalendar antarabangsa FIFA. 

Semalam merupakan kemenangan kedua tanpa bolos bagi skuad Selangor FC dengan empat jaringan gol. Dua pemain import baharu, Ronnie Fernandez dan Reziq Banihani telah meledak masuk gol pembukaan pada minit ke-58 dan penutup minit ke-90 perlawanan #SFCNSE semalam. Dua lagi gol telah dijaringkan oleh dua pemain import yang kekal bersama skuad Merah Kuning, Noor Al-Rawabdeh pada minit ke-68 dan Yohandry Orozco pada minit ke-75.

Selain itu, menurut statistik, Gergasi Merah telah menguasai perlawanan dengan 63% penguasaan bola, 87% ketepatan hantaran, 29 percubaan dan 7 sepakan penjuru.

Kemenangan dua di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, melakarkan senyuman kepada Nidzam Jamil, Ketua Jurulatih Gergasi Merah. Menurut beliau, sikap dan karakter pemain di separuh masa kedua, “Dua babak yang berbeza antara separuh masa pertama dan separuh masa kedua tetapi saya gembira dengan peningkatan yang mereka pamerkan. Secara keseluruhan, pemain telah menunjukkan sikap dan karakter mahukan keputusan yang lebih baik selepas terikat di separuh masa pertama,” ringkasnya mengenai perlawanan #SFCNSE.

Daripada perlawanan #SFCNSE  semalam, beberapa perkara penting menjadi perhatian, seperti:-

  1. Dua pemain import baharu Selangor FC buka akaun jaringan

Penyerang baharu, Ronnie Fernandez dan penyerang muda skuad kebangsaan Jordan, Reziq Banihani telah menjaringkan gol pertama masing-masing pada minit ke-58 dan ke-90 dalam perlawanan #SFCNSE.

Nidzam Jamil percaya dengan kerja keras penyerang jersi nombor 9 Gergasi Merah akan membuahkan hasil, “Ronnie Fernandez sentiasa terlibat dengan gerakan pasukan sepanjang perlawanan baik tanpa bola ataupun bersama bola. Saya berpendapat, selagi beliau terus bekerja keras untuk menutup ruang secara bertahan dan menyerang dengan baik, beliau akan sentiasa ada cara untuk menjaringkan gol, seperti hari ini beliau dapat menjaringkan satu gol.”

Selain itu, beliau gembira dengan kombinasi serangan semalam, “Saya rasa kombinasi antara Mukhairi Ajmal dan Reziq Banihani menunjukkan satu gabungan karakter yang baik. Buktinya, hantaran yang baik daripada Mukhairi Ajmal kepada Reziq Banihani dapat diakhirkan dengan jaringan terakhir pasukan pada minit ke-90,”

  1. Man of The Match, Yohandry Orozco kembali menunjukkan taring.

Pemain berasal dari Venezuela ini telah menjadi penyengat pasukan apabila hampir-hampir menjaringkan dua untuk dalam aksi #SFCNSE. Beliau telah menjaringkan satu gol pada minit ke-75 dan satu bantuan gol kepada jaringan gol Noor Al-Rawabdeh pada minit ke-68. Jaringan pertama beliau pada minit ke-47 selepas menerima assist yang sangat baik daripada Fazly Mazlan telah dinafikan kerana VAR mengesahkan gol tersebut adalah ‘offside’. Setakat ini, beliau telah mencetak 12 jarigan gol dan 13 ‘assist’ sepanjang bersama skuad Merah Kuning.

Nidzam Jamil juga turut memuji persembahan yang dipamerkan Yohandry Orozco dan beliau sukakan apa yang Orozco tawarkan kepada pasukan dalam perlawanan semalam, mengikut jawapannya kepada rakan media. 

  1. Penampilan ke-50 Safuwan Baharudin

Kapten pasukan, Safuwan Baharudin telah mencapai penampilan ke-50 bersamaan 4,286 minit beliau telah beraksi sepanjang bersama Selangor FC. Menggalas tanggungjawab yang besar musim ini, beliau sentiasa memastikan rakan sepasukan terus fokus dalam latihan dan perlawanan termasuklah dirinya sendiri. Buktinya, beliau telah dinobatkan sebagai Man of The Match untuk perlawanan minggu lalu menentang Kedah Darul Aman FC. Safuwan merupakan seorang pemain yang sangat berpengalaman dan berkebolehan beraksi dalam beberapa posisi, setiap gerakan beliau sangat tepat pada masanya terutama sekali dalam mematahkan serangan daripada pihak lawan. Setakat ini, Safuwan telah mencatat lima gol dalam akaun jaringan beliau.

Selain itu, pihak pengurusan Selangor FC juga ingin memuji sikap para penyokong Gergasi Merah yang bersama-sama menjaga kebersihan serta memastikan kerusi baharu di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, dijaga dengan baik sepanjang dua perlawanan yang telah berlangsung. Kami dalam usaha untuk menambah lebih banyak kemudahan kepada anda semua. Sikap yang anda tunjukkan, amat kami hargai. Terima kasih, Merah Kuning. 

Selangor FC mendoakan kejayaan pasukan untuk melakar lebih kejayaan dalam perlawanan-perlawanan seterusnya. 

Demi Kebanggaan