SELANGOR FC
BERITA

Boakye-Yiadom #IsRed

Jun 28, 2023 - FAS

Penyerang pasukan kebangsaan Ghana, Richmond Boakye-Yiadom, atau mahu dikenali dengan nama Boakye (sebutan Bo-a-chi), hari ini secara rasmi diumumkan sebagai pemain import terbaru Gergasi Merah, melengkapkan sembilan kuota pemain import yang telah ditetapkan bagi musim 2023.

Dilahirkan pada tahun 1993, karier profesional pemain ini bermula sejak beliau berusia 16 tahun bersama pasukan Genoa di saingan Serie A Itali musim 2009/2010. Pada musim 2012/2013, beliau telah menjadi antara pemain yang membantu Sassuolo FC muncul juara Italian Serie B sekaligus membantu Sassuolo untuk naik ke Serie A buat pertama kali dalam sejarah kelab tersebut. Untuk rekod, beliau telah menjaringkan 11 gol dalam 32 perlawanan bersama pasukan itu.

Antara yang menarik bagi musim 2013/2014, pada 25 September 2013, beliau berjaya menjaringkan gol penyamaan buat Elche FC semasa menentang Real Madrid pada perlawanan La Liga sekaligus menjadikan beliau antara pemain Ghana yang disebut ramai ketika itu.

Karier pemain yang memiliki ketinggian 186cm ini terus meningkat naik selepas bersama Red Star Belgrade (RSB) di Serbia. Pasukan beliau telah dinobatkan sebagai Juara SuperLiga untuk dua musim berturut-turut, 2018/2019 dan 2019/2020. Beliau telah membantu RSB menjuarai SuperLiga dengan menjaringkan 13 gol dalam 15 perlawanan pada musim 2018/2019. Secara keseluruhan, Boakye telah menjaring 43 gol serta 11 bantuan gol dalam 63 perlawanan.

Antara fakta menarik yang lain, beliau juga merupakan antara nadi utama yang membantu Red Star Belgrade mara ke pusingan peringkat kumpulan UEFA Champions League musim 2018/2019 buat pertama kali selepas 27 tahun menyertai kejohanan itu.

Menyarung jersi nombor 9 di Selangor FC, beliau merupakan pemain kebangsaan Ghana bawah 20 tahun dan pasukan senior sehingga musim 2022. Beliau juga sempat beraksi dalam 2 perlawanan bersama pasukan Ghana di CAF World Cup Qualifiers, membantu negara tersebut layak ke Piala Dunia 2022.

Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, pengalaman Boakye akan menguatkan lagi pasukan bagi menghadapi kancah bola sepak Malaysia musim ini.

“Selangor FC menandatangani Boakye kerana kita memerlukan beberapa pilihan pemain di bahagian serangan dan dalam masa yang sama, pengalaman luas beliau di luar negara terutamanya akan membantu pasukan untuk beraksi dengan lebih baik daripada sebelum ini.

“Saya juga melihat pengalaman beliau di luar negara akan menjadi satu contoh yang baik terutamanya kepada pemain muda dalam cara beliau menguruskan diri beraksi di negara orang.

“Saya berharap beliau akan dapat menyesuaikan diri dengan baik di sini dalam masa yang terdekat. Walaupun menyertai pasukan di pertengahan musim akan menjadi sedikit sukar untuk beliau, tetapi saya yakin pengalaman beliau akan menambah kekuatan kepada pasukan,” yakin Tan Cheng Hoe.

Boakye mahu membantu Selangor FC dengan memberikan komitmen yang tinggi beliau kepada pasukan dan dalam masa yang sama membuka ruang kepada pemain Ghana serta Afrika untuk beraksi di Malaysia.

“Saya akan berlatih bersungguh-sungguh, berikan komitmen yang besar kepada pasukan untuk mendapat kemenangan bersama. Bagi saya tanpa peminat, tidak wujudnya pasukan. Saya di sini untuk menjadi sebahagian daripada peminat dan kelab. Untuk mencipta sejarah dan meninggalkan legasi. 

“Saya juga berhasrat untuk membuka peluang membuat sesuatu yang lebih baik supaya pemain dari Ghana dan Afrika akan mempunyai lebih banyak peluang untuk bermain di sini," tegas peminat Ronaldo Nazario de Lima ini.

Pihak pengurusan Selangor FC mengucapkan selamat datang kepada Richmond Boakye-Yiadom. Kami percaya dengan kehadiran beliau akan menambah kekuatan pasukan.

Selamat berjuang bersama Gergasi Merah, Boakye!

Demi Kebanggaan!