SELANGOR FC
BERITA

Reviu Perlawanan LS4 | Penang FC 1-2 Selangor FC | Gol Kemenangan Lewat Manis Oleh Noor

Mar 13, 2023 - FAS

Selangor FC membawa pulang tiga mata penting dalam perlawanan keempat Liga Super 2023 selepas berjaya menang 2-1 menentang Penang FC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang semalam.

Statistik perlawanan semalam melihat 51% penguasaan bola, 81% ketepatan hantaran, 10 percubaan dan 2 sepakan penjuru. Jaringan pertama telah dijaringkan oleh Ayron Del Valle setelah menerima leretan tepat daripada Faisal Halim pada minit ke-27 perlawanan, pada minit ke-89 Noor Al-Rawabdeh meledak gol kemenangan dengan menyudahkan hantaran Aliff Haiqal Lau. 

Menurut Tan Cheng Hoe, Ketua Jurulatih Selangor FC, sikap dan semangat juang pemain membantu pasukan membawa pulang tiga mata.

"Ini merupakan perlawanan yang cukup sengit, sudah semestinya kedua-dua pasukan mencari kemenangan semalam bagi mengekalkan kedudukan terbaik. Situasi semalam cukup kritikal, kita menyerang dan bertahan dengan baik, itu bagi saya sangat penting. Kalau kita lihat, di babak terakhir perlawanan kita dapat atasi kelemahan sendiri dan menjaringkan gol kemenangan untuk pasukan.

“Semestinya kita ada beberapa kesilapan dari bahagian pertahanan dan serangan yang dapat dilihat daripada perlawanan yang kita perlu perbaiki. Namun, semangat juang yang tinggi merupakan sebab  kita dapat kemenangan hari ini dan ia adalah satu kepuasan untuk pasukan,” puji Tan Cheng Hoe.

Daripada perlawanan #PENSEL semalam, beberapa perkara penting dapat dilihat, seperti:-

Penampilan ke-50 pemain pembangunan Selangor FC

Pemain penyerang Selangor FC, Danial Asri, yang telah membuat penampilan sulung beraksi bersama skuad utama dalam saingan Piala Malaysia 2020 menentang Melaka FC, berjaya membuat penampilan ke-50 beliau dalam perlawanan ini. Untuk rekod, beliau telah menjaringkan tujuh jaringan gol dan empat ‘assist’ sepanjang aksinya bersama skuad utama Red Giants. 

Danial Asri merupakan pemain pembangunan Selangor FC, beliau pernah beraksi bersama skuad Presiden dan Belia sebelum bersama skuad Selangor 2 dan menjadi Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Premier 2020. 

Faisal Halim menambah rekod bantuan gol 

“Secara jujur, Faisal Halim telah memainkan peranan yang sangat baik dalam pasukan. Walaupun beliau belum ada peluang untuk menjaringkan gol, namun beliau telah membuat empat assist bersama pasukan,” tegas Tan Cheng Hoe

Faisal terus kekal sebagai pencipta gol terbanyak dalam pasukan setakat ini setelah membuat hantaran tepat ke Ayron Del Valle dan menjaringkan gol sulung #PENSEL. 

Penampilan pertama pemain tempatan baharu Selangor FC 

Khuzaimi Piee, berjaya menembus senarai kesebelasan utama dan membuat penampilan pertamanya untuk musim ini dalam perlawanan #PENSEL. 

Assist pertama Aliff Haiqal Lau musim 2023

Pemain yang melonjak naik dengan corak permainan yang semakin matang, beliau  menunjukan aksi terbaiknya sebaik sahaja dimasukan pada minit ke-85 perlawanan, dua minit selepas itu beliau berjaya membuka akaun bantuan gol nya kepada Noor Al-Rawabdeh yang menjadikan gol kemenangan buat pasukan. Ini menjadikan assist keempat beliau bersama pasukan Merah Kuning.

Selangor FC bangga dengan pencapaian pasukan setakat ini. Semoga dapat mengekalkan momentum baik ini dalam perlawanan seterusnya. Teruskan perjuangan, Gergasi Merah! 

Demi Kebanggaan!