Dec 09, 2022 - FASSoccer Schools Carnival 2022 telah dianjurkan oleh pengurusan Selangor FC bagi menyempurnakan kalender program Soccer Schools tahun ini pada 3 hingga 4 Disember yang lalu di Padang Bola Sintetik Seksyen 28 MBSA.
Karnival ini telah menghimpunkan 850 kanak-kanak daripada kesemua sekolah serta pusat latihan yang telah bersama program Soccer School Selangor FC selama dua hari yang tertumpu bagi memberi ruang untuk mereka menikmati kegembiraan bermain bola sepak bersama rakan sekolah dari 13 lokasi latihan.
Selain itu, Soccer Schools Carnival 2022 telah menganjurkan perlawanan di antara semua lokasi latihan mengikut kategori umur bawah 8 tahun, 10 tahun dan 12 tahun dari pagi sehingga petang. Aktiviti ini dilakukan bertujuan untuk membolehkan kanak-kanak bermain dan menikmati sukan bola sepak dengan tenaga maksimum mereka.
Dalam masa yang sama, DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah, juga turut hadir memeriahkan Soccer Schools Carnival 2022 sekaligus merasmikan Padang Bola Sintetik Seksyen 28 MBSA, Shah Alam.
Program ini juga dalam perancangan untuk memperbanyakkan lagi jumlah sekolah yang menyertai program Soccer School Selangor FC dan meluaskan jangkauannya pada 2023.
Selain itu, kami sedang mencari sekolah rendah yang berminat untuk bekerjasama dengan kami dan menjalankan latihan bola sepak akar umbi sebagai sebahagian daripada program Selangor FC Soccer Schools.
Bagi sekolah yang berminat boleh hubungi pihak Selangor FC Soccer Schools untuk menyatakan minat pada soccerschools@selangorfc.com.
Demi Kebanggaan.