Oct 21, 2022 - FASSaingan yang penuh dengan onak duri, Liga Super musim 2022 telah tamat secara rasmi dengan perlawanan akhir menentang pasukan Penang FC pada 15 Oktober yang lalu.
Beberapa rekod penting telah dicatat oleh pasukan sepanjang saingan ini dijalankan. Ini adalah masa yang tepat untuk mengimbas kembali segala pencapaian dalam Liga Super musim 2022.
Secara keseluruhannya, Selangor FC menamatkan kempen Liga Super 2022 di tempat kelima dengan 30 mata daripada lapan kemenangan, enam seri dan lapan kekalahan dalam 22 perlawanan. Selain itu, dalam lapan kemenangan, lima daripadanya pasukan berjaya menang tanpa bolos.
Musim ini, pasukan utama Gergasi Merah menang lima perlawanan di tempat sendiri dan tiga kemenangan di tempat lawan, dan tewas dalam hanya tiga perlawanan di tempat sendiri dan lima pertemuan di tempat lawan.
Daripada 22 perlawanan dalam Liga Super, Herlison Caion telah beraksi dalam semua pertemuan dengan 1962 minit bermain. Kemudian diikuti rapat oleh seorang pemain tonggak muda, Mukhairi Ajmal yang berjaya mencapai penampilan ke-50 beliau dalam perlawanan menentang Penang FC yang lalu dengan 1810 minit. Seterusnya, tiga pemain pertahanan mengungguli senarai lima terbanyak beraksi musim ini iaitu Quentin Cheng dengan 1734 minit, Yazan Al-Arab sebanyak 1672 minit dan Sharul Nazeem 1667 minit. Senarai lima pemain terbanyak beraksi di Liga Super 2022: Tekan Sini
Selain itu, pasukan telah menjaringkan 39 gol dengan purata 1.77 gol dalam setiap perlawanan, dan bolos 33. Tiga kemenangan berturut-turut terpanjang pasukan, manakala rekod tanpa kalah terpanjang adalah empat pertemuan.
Musim ini Selangor FC telah menjadi pasukan kedua terbanyak menjaringkan gol dalam saingan Liga Super 2022 dengan 39 jaringan. Herlison Caion menjadi pencetak gol terbanyak Gergasi Merah dengan 14 jaringan, kemudian Norhakim Hassan dan Brendan Gan menjaringkan lima gol diikuti rapat Mukhairi Ajmal dan Hein Htet Aung, dua pemain muda tonggak pasukan dengan tiga jaringan gol. Senarai penjaring terbanyak beraksi di Liga Super 2022: Tekan Sini
Biarpun jumlah bolos tidak memberansangkan, namun barisan pertahanan telah mencatat lebih daripada 50% 'aerial duel' dalam setiap perlawanan sepanjang saingan dijalankan. Dari segi individu, Sharul Nazeem berjaya memenangi 67% 'tackles won' daripada 147 jumlah 'tackle' yang dilakukan. Manakala, Quentin Cheng, Fazly Mazlan dan Yazan Al-Arab pula memenangi 66% 'tackles won' daripada jumlah 'tackle' masing-masing.
Walau bagaimanapun, Liga Malaysia 2022 masih belum tamat dengan berbakikan kempen TM Piala Malaysia yang bakal membuka tirainya tidak lama lagi. Selangor FC yakin lebih banyak data akan dicatat oleh pasukan. Semoga berjaya Gergasi Merah!
Demi Kebanggaan!