Oct 01, 2022 - FASPerlawanan terakhir di laman Gergasi Merah bakal menyaksikan Pasukan Selangor FC menentang Melaka United FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada jam 9 malam ini.
Pertemuan ini merupakan perlawanan pertama skuad Gergasi Merah di bawah kendalian Ketua Jurulatih baharu, Tan Cheng Hoe yang diumumkan pada 24 September lalu.
Tan Cheng Hoe dilantik sebagai Ketua Jurulatih baru-baru ini bagi membantu beliau membuat persediaan awal untuk musim hadapan. Baca lebih lanjut di : TCH Kini Merah Kuning
Menurut Tan Cheng Hoe, beliau tidak menganggap krisis yang dihadapi pihak lawan sebagai satu jalan mudah.
“Perlawanan pertama untuk seseorang jurulatih pastinya sukar tidak kira walaupun berdepan pasukan yang mempunyai krisis sekali pun.
Saya bertanggapan pemain-pemain mereka yang beraksi sudah semestinya akan berikan komitmen dan fokus yang tinggi untuk buktikan sesuatu, jadi kita jangan pandang mudah perkara ini,” berjaga-jaga Tan Cheng Hoe.
Dari segi keberadaan pemain untuk perlawanan Liga Super hari ini, pasukan Selangor FC masih belum dapat menurunkan Safuwan Baharudin yang masih dalam proses pemulihan akibat daripada kecederaan ‘mild traumatic brain injury’.
Selain itu, Gergasi Merah terpaksa melupakan khidmat pemain muda berpotensi tinggi, Syahir Bashah kerana digantung satu perlawanan daripada tiga kad kuning yang diperoleh.
Walau bagaimanapun, penyokong boleh bersorak gembira dengan kembalinya pemain pertahanan kiri yang sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) musim lalu, R. Dinesh ke dalam senarai pemain beraksi pada malam ini.
Selangor FC yakin pasukan akan beraksi dengan penuh semangat. Ayuh, Red Giants!
Demi Kebanggaan!