The Red Giants

EN
MY
SELANGOR FC
BERITA

Pengumuman Kerjasama Selangor FC Bersama Bank Islam Malaysia Berhad

Aug 12, 2022 - FAS

Hari ini Kelab Bola Sepak Selangor, Selangor FC dengan berbesar hati mengumumkan kerjasama bersama Bank Islam Malaysia Berhad yang telah ditubuhkan sejak Julai 1983 terutamanya untuk membantu keperluan kewangan penduduk rakyat Malaysia.

Kerjasama ini juga bakal memperlihatkan Bank Islam Malaysia Berhad, dengan bersama Visa dan Kelab Bola Sepak Selangor, menawarkan rekaan Kad Debit-i eksklusif yang baharu. Kad Debit-i Bank Islam Visa Selangor FC adalah direka khas untuk semua penyokong Kelab Bola Sepak Selangor.

Bank Islam Malaysia Berhad telah mengadakan Majlis Pelancaran Rekaan Baharu Kad Debit-i Bank Islam Visa Selangor FC yang dilancarkan oleh Ketua Pegawai Perniagaan, En. Mizan Masram dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon serta turut dihadiri En. Zamree Mohamed, Pengarah, Bahagian Perbankan Pengguna Bank Islam di I-City Centre Court pada 30 Julai yang lalu.

Menurut Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan (Runcit) Bank Islam, En. Mizan Masram "Kami sangat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Selangor FC untuk wajah baharu Kad Debit-i eksklusif Kelab Bola Sepak Selangor 2022.

"Ini adalah sebahagian daripada strategi Bank Islam Malaysia Berhad untuk bekerjasama dengan jenama terkemuka seperti Selangor FC dalam menawarkan nilai tambahan kepada pelanggan Bank Islam. Bank Islam menawarkan kad tersendiri dengan faedah menarik dan reka bentuk kad eksklusif kepada penyokong Kelab Bola Sepak Selangor.

"Selain itu, Bank Islam Malaysia Berhad komited dalam mempromosikan urus niaga tanpa tunai di Malaysia dan Kad debit-i 'co-brand' merupakan salah satu strategi untuk menggalakkan segmen pasaran muda mempunyai lebih banyak pengalaman tanpa tunai dengan menggunakan Kad Debit-i Visa Bank Islam," tambah En. Mizan. 

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon turut menzahirkan rasa gembira dapat  bekerjasama dengan Bank Islam.

“Bank Islam Malaysia Berhad telah menjalinkan kerjasama dengan Selangor FC kali ini bagi membuat rekaan wajah baharu eksklusif Kad Debit-i Bola Sepak Selangor khas untuk penyokong The Red Giants. Ini juga membuka ruang kepada syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa yang dalam apa sahaja bidang untuk bekerjasama dengan kelab-kelab bola sepak tempatan kerana industri bola sepak kita cukup dekat dengan rakyat Malaysia,” jelas Dr. Johan.

"Selangor FC akan melakukan sedaya upaya untuk membalas kepercayaan yang diberikan. Kerjasama ini juga jelas membuktikan sukan bola sepak masih relevan sebagai platform untuk berkongsi kepakaran di antara satu sama lain," tambah Dr. Johan.

Selangor FC sekali lagi ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Bank Islam Malaysia Berhad dan berharap kerjasama ini dapat membuka mata lebih banyak syarikat lain di Malaysia khususnya di Selangor untuk turut menjalinkan kerjasama bersama Gergasi Merah.

Demi kebanggaan.