The Red Giants

EN
MY
SELANGOR FC
BERITA

Liga Super Bersambung Kembali! Hein Htet Aung Tekad Bantu Selangor FC Raih Kemenangan.

Jun 16, 2022 - FAS

Semua pemain kebangsaan pasukan senior dan bawah 23 tahun telah kembali ke kem Gergasi Merah semalam dan telah memulakan latihan bersama rakan sepasukan bagi membuat persiapan untuk menghadapi saingan Liga Super Malaysia 2022 setelah berehat lama.

Mukhairi Ajmal, pemain muda tengah Gergasi Merah dan juga kapten pasukan bawah 23 tahun negara berasa pengalamannya di Uzbekistan akan membantu beliau dan pemain muda yang lain menyesuaikan diri dengan keadaan jadual yang padat.

"Bermain di pentas yang lebih tinggi sedikit sebanyak membantu saya belajar banyak perkara dari segi individu dan dalam pasukan. Saya yakin pengalaman tersebut berikan gambaran yang lebih luas untuk saya berusaha keras berada di pentas lebih tinggi,

Dalam masa yang sama, saya rasa pemain dapat menyesuaikan diri dengan situasi perlawanan 'back-to-back' yang akan datang ini kerana kami juga menghadapi jadual padat sebelum ini.  Saya harap semua pemain bersedia dan berada dalam keadaan baik untuk beraksi kembali bersama pasukan," tegas Mukhairi.

Pemain muda import Selangor FC yang cukup dikenal dengan work rate yang tinggi dan sangat disayangi para penyokong, Hein Htet Aung, juga semangat untuk membantu pasukan bersaing dengan cemerlang.

"Saya dan rakan sepasukan berlatih dengan gigih untuk membuat persiapan rapi bagi menghadapi perlawanan back-to-back yang akan bermula tidak lama lagi. 

Saya berharap dengan usaha keras saya berikan akan dapat membantu pasukan meraih kemenangan demi kemenangan sehingga tamat musim ini. Saya akan berikan segalanya untuk setiap perlawanan nanti," tegas pemain muda dari Myanmar semasa temubual.

Sebelum tamat perbualan, Hein sempat meluahkan rasa terima kasihnya kepada para penyokong Red Giants, "Penyokong Gergasi Merah adalah segalanya untuk saya dan merupakan motivasi terbesar saya untuk beraksi dengan baik dalam setiap perlawanan. Terima kasih saya ucapkan. Teruskan menyokong kami!" katanya.

Pasukan Gergasi Merah akan memulakan semula aksi Liga Super menentang Sarawak United FC pada 19 Jun ini di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Selangor FC berharap pasukan dapat beraksi dengan cemerlang untuk perlawanan-perlawanan Liga Malaysia yang akan bersambung hari Ahad ini. Ayuh Gergasi Merah!

Demi Kebanggaan!