Jun 05, 2022 - FASDua pasukan e-sukan Gergasi Merah, Selangor FC dan Selangor FC 2 berjaya menempah tiket ke Pusingan Akhir Unifi eMFL Liga Super 2022 selepas mengharungi 34 perlawanan bermula dari bulan April lalu.
Selangor FC yang diwakili oleh Kamil Al Amini (Maxnevis) dan Husnain Hakim (Rainnn9) berjaya menamatkan pusingan liga di tempat ke-3 setelah berjaya mengumpul 67 mata dari 34 perlawanan, cuma dipisahkan dengan 4 mata dari Melaka United selaku pendahulu liga. Kedua-dua gandingan ini berjaya memenangi 21 perlawanan, seri 4 dan tewas 9 kali sekaligus berjaya menempatkan diri di slot ‘Winner Bracket’ untuk pusingan akhir kelak.
Manakala, Selangor FC 2 yang diwakili oleh Putera Sufrie (Killer) dan Alif Dani (ForOneOne) berjaya menamatkan pusingan liga di kedudukan ke-9 setelah berjaya mengumpul 52 mata hasil 14 kemenangan, 10 seri dan 10 kekalahan sepanjang 34 perlawanan yang diharungi. Kedudukan ini bakal menempatkan Putera dan Alif di ‘Loser Bracket’ untuk pusingan akhir nanti.
Sebanyak 12 pasukan terbaik liga akan bertanding di pusingan akhir di mana 4 pasukan teratas akan bersaing di ‘Winner Bracket’ manakala pasukan di kedudukan ke-5 hingga 12 akan bersaing di ‘Loser Bracket’. Pusingan akhir ini akan diadakan secara format kalah mati dan akan berlangsung pada 16 Jun 2022 akan datang.
Seorang pemain dari pasukan juara bakal mewakili Malaysia sekaligus menempah slot untuk bertanding di kejohanan FIFA Global Series Playoff anjuran EA Sports dan membawa pulang wang tunai kejohanan. Selamat maju jaya buat kedua-dua pasukan e-sukan Selangor FC, semoga peroleh kejayaan!
Untuk maklumat lanjut, sila ikuti @selangorfc @mfl_my @emfl_my dan @gb_gamesbond untuk info terkini kejohanan ini.
#DemiKebanggaan