May 28, 2022 - FASSelangor FC dengan sukacitanya mengumumkan pelancaran ‘third-kit' musim ini hasil kolaborasi bersama penyanyi dan penulis lagu terkenal, Altimet yang juga anak jati negeri Selangor serta penyokong setia pasukan Gergasi Merah.
Kolaborasi ini juga turut menampilkan lagu istimewa buat Selangor FC dan para penyokong, oleh Altimet sendiri yang bertajuk Langgam Gendang Perang. Lagu yang mempunyai dua versi; Merah dan Kuning ini juga merupakan gabungan inspirasi Kelab ini dan karya Altimet yang kemudiannya diterjemahkan ke dalam ‘third-kit' Selangor FC 2022.
Dalam sesi temubual bersama Selangor FC, Altimet menyatakan pada awalnya hasrat beliau adalah impian untuk menaja kelab Gergasi Merah, namun sebaliknya menjadi kenyataan menerusi kolaborasi ‘third-kit' ini.
“Lagu ini sebenarnya sudah dihasilkan 5 tahun lalu, namun saya simpan dalam arkib untuk dikeluarkan bila tiba masanya. Selangor FC dan peminat merupakan inspirasi utama karya ini terhasil. Dengan bantuan rakan saya Navin yang juga seorang lagi anak jati Selangor kelahiran Klang, karya Langgam Gendang Perang ini terhasil dengan dua versi iaitu Merah dan Kuning”.
Langgam yang membawa maksud puisi atau bait merupakan simbolik kepada sorakan atau suara sokongan penyokong yang sentiasa menggemuruhkan stadium pada setiap perlawanan bola sepak dan suasana yang diiringi paluan gendang bagi menyemarakkan semangat para pemain di atas padang ini menjadi inspirasi tajuk lagu dan juga jersi ini.
Warna jersi ini merupakan campuran warna merah dan hitam yang merupakan warna kegemaran Altimet dan juga warna yang sangat sinonim dengan pasukan Gergasi Merah. Merah sebagai simbol semarak semangat juang para pemain di padang dan juga merupakan lambang semangat penyokong yang sentiasa berada di belakang pasukan. Manakala warna hitam pula melambangkan kuasa dan keteguhan pasukan dan penyokong yang sentiasa bersatu dalam jatuh bangun dan pahit manis sesuatu perjuangan.
Motif pada ‘third-kit' ini pula diinspirasikan dari gema deruman gendang serta suara sorakan penyokong. Manakala, satu lagi sentuhan unik pada jersi ini adalah, emblem Altimet yang telah digubah khas untuk menerapkan nama SFC (Selangor FC) sebagai satu simbol baharu kolaborasi antara Selangor FC dan Altimet. Di bahagian kolar baju ini pula menerapkan baris daripada lirik lagu tersebut; ‘Jata Atas Baju, Jati Dalam Hati’.
Selangor FC turut melihat kerjasama ini sebagai satu langkah yang positif dalam mendekatkan lagi Kelab dan penyokong. “Kami berharap kolaborasi sebegini dapat menyatukan dan mendekatkan lagi Selangor FC dan penyokong. Penyokong kita terdiri dari pelbagai lapisan peringkat umur. Dengan cara ini juga kita dapat menarik minat lebih ramai generasi muda di luar sana terhadap pasukan dan sukan bola sepak ini,” ujar Dr. Johan Kamal Hamidon, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC.
Altimet turut menambah, "Saya berharap jersi ini boleh sampaikan kepada pemain bahawa kami ada di belakang mereka. Saya mahu jersi ini menjadi satu jambatan diantara Selangor FC dan para penyokong untuk bersatu. Kita harus jatuh bangkit bersama dan ini juga satu tanda terima kasih daripada saya dan Selangor FC kepada para penyokong,"
Jualan jersi ini kini dibuka secara atas talian di laman rasmi Selangor FC dan diikuti dengan sesi jualan yang akan diadakan bersempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2022 Selangor FC di Institut Pengurusan Peladang, Tanjung Karang, 29 Mei 2022 esok dari seawal jam 11 pagi sehingga 5 petang. Dalam masa yang sama, jualan fizikal turut berlangsung di Popup Store Rasmi kami di FAS Training Centre dari jam 11 pagi sehingga 5 petang pada hari yang sama, Ahad 29 Mei 2022.
Ayuh berikan sokongan anda dan jadi yang terawal untuk memilikinya!
Demi Kebanggaan!
#LanggamGendangPerang