May 01, 2022 - FASSelangor FC berjaya meraih tiga mata penuh menentang Sri Pahang FC Kelana Jaya sebelum menutup tirai saingan Liga Super 2022 untuk bulan ini di Stadium MBPJ pada hari Jumaat yang lalu.
Menurut Michael Feichtenbeiner, Ketua Jurulatih Selangor FC, pasukan telah berikan yang terbaik untuk perlawanan ini, “Saya akui, sebelum perlawanan, pemain kami agak tertekan kerana kekalahan yang diharungi sebelum ini. Namun, saya berpuas hati dengan apa yang mereka pamerkan kerana jelas kita menguasai perlawanan sejak wisel permulaan ditiupkan,"
Beberapa aksi menarik dalam perlawanan #SELSRP menjadi faktor utama Selangor FC mendapat tiga mata:-
1. Dominasi bahagian tengah pasukan hasil daripada gandingan dua pemain muda Selangor, Mukhairi Ajmal dan Alex Agyarkwa.
Malam tersebut Alex Agyarkwa telah dinobatkan sebagai Man Of The Match (MOTM) pasukan Selangor. Beliau dan Mukhairi Ajmal telah menstabilkan bahagian tengah apabila saling bersilih ganti melaksanakan tanggungjawab masing-masing baik dari menyerang dan bertahan. Alex banyak memainkan peranan terutamanya dalam mematahkan serangan pihak lawan manakala Mukhairi pula banyak membantu dalam menyerang bersama barisan hadapan pasukan. Hasil kerja keras kedua-dua pemain ini, mereka masing-masing telah menempah nama sebagai pembantu jaringan gol pada malam tersebut.
2. Gandingan Duo Brazilian kembali menyengat
Herlison Caion dan Hyuri Henrique bermain dengan cemerlang dalam perlawanan #SELRP dimana mereka seperti mengambil giliran dalam menyerang. Salah seorang akan berada di hadapan dan seorang lagi akan menjadi back up dalam serangan yang dilakukan. Persefahaman antara mereka telah membantu pasukan dalam membuat banyak serangan. Oleh itu, kedua-dua mereka berjaya menjaringkan gol peripadi dalam perlawanan ini, Caion pada minit ke-38 dan Hyuri pada minit ke-52.
3. Bek kanan dan kiri yang merbahaya
Quentin Cheng telah beraksi dengan sangat baik dalam perlawanan ini. Biarpun beliau berada di posisi pertahanan namun beliau banyak membantu bahagian serangan dengan hantaran-hantaran yang berkualiti. Kerajinan beliau dalam menyerang telah membantu pasukan dalam mencetak gol. Manakala Fazly Mazlan pula mempamerkan aksi yang baik terutamanya dari segi bertahan di bahagian kiri pasukan. Beliau tidak memberi sedikit pun peluang untuk pemain import pasukan Sri Pahang, Hidalgo melepasinya.
4. Hein Htet Aung mempamerkan aksi cemerlangnya
Hein cukup dikenali dengan work-rate yang tinggi di dalam padang sentiasa mempamerkan aksi cemerlangnya dan ia termasuk dalam perlawanan ini. Larian-larian yang dilakukan olehnya telah banyak membantu pasukan dalam menyerang. Beliau juga sentiasa berada di posisi yang tepat dalam setiap serangan. Pujian harus diberikan kepada beliau.
5. Khairulazhan menyahut seruan
Setelah sekian lama, Khairulazhan kembali menjadi kapten pasukan dalam perlawanan ini. Beliau merupakan antara pemain senior yang sangat dihormati dalam kem Gergasi Merah. Kepimpinan beliau sedikit sebanyak telah membantu pasukan untuk beraksi dengan baik pada hari Jumaat tersebut.
Walau Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada kesemua pemain yang telah berhempas pulas beraksi pada malam tersebut serta barisan jurulatih dan pegawai. Kemenangan ini tidak akan terhasil tanpa kerjasama semua pihak.
Selangor FC sangat berbangga dengan pencapaian pasukan dan mengharapkan momentum baik seperti ini berterusan sehingga hujung musim. Tahniah Gergasi Merah!
Demi Kebanggaan!