Apr 13, 2022 - FASKemenangan manis 4-1 pada hari Ahad lalu menentang Kedah Darul Aman FC dalam saingan Liga Super 2022 pastinya telah menambah keyakinan pasukan Selangor FC untuk melonjakkan kedudukan pada perlawanan seterusnya.
Sebelum itu, mari kita lihat beberapa perkara positif yang boleh diambil daripada kemenangan pertama ini.
1. Gandingan mantap jentera tengah dan hadapan pasukan
Dalam perlawanan #SFCKDA, persefahaman baik daripada jentera tengah pasukan, Baha’ Abdelrahman, Alexander Agyarkwa dan Mukhairi Ajmal dalam menjalankan tugas masing-masing terutamanya semasa bertahan serta menyerang.
Selain itu, gandingan berbisa bahagian serangan, Herlison Caion, Shahrel Fikri dan Hein Htet Aung telah membuat asakan demi asakan bagi mendapatkan jaringan pada malam tersebut. Mereka juga bergerak secara serentak dalam melakukan serangan. Ini menjadikan setiap serangan yang mereka rancang adalah sangat merbahaya. Kembalinya Hein Htet Aung dalam bahagian serangan ini telah menambah bisa dimana kelebihan beliau dalam melakukan ‘link-up’ sangat diperlukan dalam pasukan.
Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Michael Feichtenbeiner, pemain-pemain beliau telah beraksi dengan sangat baik.
"Saya gembira dengan pasukan saya kerana mereka mencipta banyak peluang dan kami boleh untuk membunuh perlawanan lebih awal tetapi secara keseluruhan saya berpuas hati dengan persembahan mereka."
"Seperti yang selalu saya tekankan, kami memang menerapkan corak permainan menyerang di dalam pasukan dan sebagai bukti kami sudah pun menjaringkan sembilan gol dalam tiga perlawanan Liga,"
Tidak lupa juga bahagian pertahanan, mereka juga harus diberi pujian kerana telah bertahan dengan baik sepanjang perlawanan biarpun terpaksa akur dengan bolos satu jaringan.
2. Rekod peribadi pemain Selangor FC dalam perlawanan ini.
Mukhairi Ajmal telah menjadi penjaring pertama perlawanan ini sekaligus telah membuka akaun jaringannya untuk musim ini pada minit ke-26.
Jaringan minit ke-26 tersebut tidak akan terjadi tanpa assist baik daripada Alex Agyarkwa yang juga merupakan bantuan gol pertamanya musim ini.
Herlison Caion telah menunjukkan nilai beliau sebagai seorang penyerang dengan menjaringkan dua jaringan gol serta satu ‘assist’ dalam perlawanan ini. Setakat ini beliau telah menjaringkan lima jaringan gol dalam tiga perlawanan.
Gol pertama Caion merupakan hasil daripada dadaan pertama oleh Shahrel Fikri yang sekali gus menjadikan bantuan gol pertama Shahrel untuk musim ini dalam saingan Liga Super.
Norhakim Hassan membuktikan kerja kerasnya berhasil apabila menjadi pemain gantian yang berjaya menjaringkan satu gol pada minit ke-84 dan tiga minit kemudian menghasilkan ‘assist’ kepada rakan sepasukannya.
3. Aksi penjaga gawang Selangor FC harus diberi pujian
Kesemua pemain telah beraksi dengan sangat baik termasuklah penjaga gawang kita, Khairulazhan Khalid yang telah membatalkan empat daripada lima percubaan pihak lawan, yang merupakan tiga percubaan luar kotak penalti dan dua percubaan dalam kotak. Ini bermakna beliau telah menyelamatkan 80 peratus daripadanya.
4. Pengorbanan dan dedikasi Safuwan Baharudin
Kapten pasukan ini telah beraksi dengan keadaan beliau yang baru sahaja pulih daripada kecederaan semasa menentang Negeri Sembilan FC yang lalu. Beliau juga hampir di tukarkan pada minit ke-64 selepas perlanggaran teruk yang melibatkan kakinya namun beliau masuk semula ke dalam padang untuk meneruskan aksinya. Pimpinan beliau juga sedikit sebanyak telah membantu pasukan beraksi dengan baik.
Selangor FC sangat berbangga dengan pencapaian pasukan dan mengharapkan momentum baik seperti ini berterusan sehingga hujung musim. Tahniah Gergasi Merah!
Demi Kebanggaan