Mar 16, 2022 - FASAiman Platinum Sdn Bhd menjadi sebahagian keluarga Gergasi Merah apabila diumumkan sebagai salah satu rakan penaja baharu selepas kedua-dua belah pihak bersetuju untuk menjalinkan ikatan kerjasama bagi musim 2022, baru-baru ini.
Ikatan kerjasama ini akan menyaksikan Aiman Platinum Sdn Bhd akan menyumbang sejumlah wang tunai sebagai nilai tajaan kepada pasukan Selangor FC yang akan bersaing dalam kancah Liga Malaysia 2022 yang baru sahaja bermula. Dari sudut pasukan, SFC akan memaparkan dan menggunakan logo Aiman Platinum Sdn Bhd pada beberapa aset digital media sosial SFC pada hari perlawanan sebagai 'branding' kepada penaja.
Sempat ditemurah, Ketua Pegawai Eksekutif Aiman Platinum Sdn Bhd, Aiman Firdaus Tan berkata "Aiman Platinum Sdn Bhd sangat gembira dapat menjadi penaja buat skuad Selangor pada musim ini. Kami sudah lama berhasrat untuk menjadi sebahagian daripada SFC dan terima kasih SFC kerana merealisasikan sasaran kami ini. Sebagai bekas pemain yang telah menyarung jersi Selangor pada suatu ketika dahulu, saya memahami keperluan pasukan untuk mendapat seberapa banyak bantuan penajaan untuk menyiapkan pasukan." kata beliau. Aiman Platinum tidak asing dalam penajaan bolasepak Selangor dan telah menyumbang sebelum ini pada beberapa edisi Piala Sultan Selangor dan Piala Mokhtar Dahari sebelum ini.
Turut menzahirkan kegembiraan di atas kerjasama ini adalah Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon, beliau berkata "Seperti yang saya selalu nyatakan, kami di SFC sentiasa membuka ruang dan peluang buat mana-mana syarikat tidak kira besar mahupun kecil untuk bersama menjadi sebahagian dari keluarga SFC. Kami berharap kami dapat memberikan pendedahan sebanyak mungkin buat rakan penaja kami supaya mereka sering rasa dekat dengan penyokong-penyokong SFC", tambah beliau.
Akhir kata, Selangor FC ingin memberikan setinggi-tinggi penghargaan buat Aiman Platinum di atas kepercayaan dan komitmen yang diberikan dan semoga ikatan yang terjalin ini akan kekal berpanjangan untuk kebaikan kedua-dua belah pihak.
Demi kebanggaan!