Dec 11, 2021 - FASJilid 1: SFC Soccer Schools 2021
Sama seperti kebanyakan industri lain, bola sepak di seluruh dunia juga telah terjejas oleh pandemik Covid-19. Walaupun saingan profesional di Malaysia telah berjaya diteruskan, selain beberapa pembatalan dan penangguhan yang dilaksanakan selaras dengan arahan kerajaan, masih banyak aspek sukan yang terpaksa ditundakan buat sementara waktu.
Pembangunan belia dan akar umbi merupakan salah satu bidang bola sepak yang terpaksa ditangguhkan oleh Selangor FC selepas penularan wabak itu, walaupun perancangan dan idea telah dirangka.
Inisiatif Soccer Schools Selangor FC telah mula dilancarkan pada September 2019, bertujuan untuk menyediakan kanak-kanak dibangku sekolah di seluruh negeri Selangor dengan latihan bola sepak yang konsisten dan teratur melalui penyertaan sekolah mereka. Ideanya ialah mereka akan menjalani latihan asas tanpa mengira tahap dan potensi mereka, lebih menjurus ke arah penglibatan dan penyertaan berbanding untuk mendapatkan yang terbaik daripada pelatih muda ini. Ketika pertama kali dilancarkan, lima sekolah rendah terlibat, dengan beraspirasi tinggi untuk mengembangkan senarai itu kepada 20 dalam jangka masa satu tahun sahaja.
Malangnya, wabak Covid-19 merebak di seluruh dunia hanya beberapa bulan selepas itu, menyebabkan rancangan Soccer Schools Selangor FC ditangguhkan. Selama hampir dua tahun, aktiviti rekreasi dihadkan dengan kawalan ketat dan sekolah ditutup untuk membendung penularan virus itu, yang bermakna program itu tidak dapat memberi latihan kepada murid sekolah yang mendaftarkan diri dari awal 2020 hingga sekarang.
Namun demikian, kemampuan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan adalah penting bagi kelab dan program Soccer Schools kami. Ketua program En. Kanason Rajagobal masih berjaya menjalankan beberapa program alternatif walaupun menghadapi cabaran.
Antara aktiviti-aktiviti yang berjaya dianjurkan oleh Soccer Schools adalah sesi latihan ‘one-off’ di FAS Training Centre sebelum SOP ketat dilaksanakan di seluruh negara, serta sesi perkongsian dalam talian dengan murid dari tiga sekolah, termasuklah penglibatan dua pemain kelab itu, Danial Asri dan Tim Heubach.
"Kami masih berjaya mengadakan klinik latihan sesi ‘one-off’ melibatkan dua sekolah dan akademi SA United, sebagai sebahagian daripada penglibatan Soccer School tahun ini," jelas Kanason.
Memandangkan keberkesanan pembangunan belia bergantung kepada kualiti jurulatih belia, Soccer Schools juga berusaha untuk menyediakan kursus penyelarasan kepada kira-kira 30 orang jurulatihnya, yang kebanyakannya terdiri daripada guru sekolah yang telah ditugaskan untuk melatih bola sepak.
"Di bawah program penyelarasan, kami menerangkan misi, visi dan objektif projek, dan kami juga meminta Michael (Pengarah Sukan Selangor FC dan Ketua Jurulatih pasukan pertama Michael Feichtenbeiner) datang dan bercakap tentang bola sepak akar umbi."
Walaubagaimanapun aktiviti secara fizikal juga yang penting untuk program ini, dan Kanason mendedahkan ‘backup plan’ Soccer School, sekiranya aktiviti sukan kekal dihadkan di sekolah pada tahun 2022.
"Kami mempunyai rancangan untuk memulakan semula [latihan kami] di luar sekolah di padang awam yang dimiliki oleh bandar raya dan majlis tempatan, sementara menunggu sekolah dibuka semula.
"Latihan akan diadakan setiap minggu, sepertimana kita akan menganjurkannya di sekolah-sekolah berdaftar. Ia akan diadakan di dua lokasi buat masa ini, mungkin tiga, bergantung kepada permintaan," katanya.
Walau bagaimanapun, rancangan asal untuk melatih kanak-kanak di seluruh negeri di sekolah mereka akan terus dikekalkan, dan Soccer Schools menjangkakan lebih banyak sekolah akan menyertai program ini untuk 2022 apabila sekatan Covid-19 di sekolah-sekolah ditarik balik.
“15 sekolah telah menyatakan hasrat dan minat mereka untuk menyertai program ini tahun hadapan, manakala kami menyasarkan untuk melibatkan 20 sekolah pada 2022 jika wabak itu tidak menghalang lagi.
"Kami telah bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor untuk mendapatkan lebih banyak sekolah untuk mengambil bahagian," kata Ketua program SFC Soccer Schools itu.
Dalam bahagian dua cerita minggu depan, Kanason akan memberikan lebih perincian tentang nilai teras dan rancangan Selangor FC Soccer Schools untuk tahun-tahun akan datang.