SELANGOR FC
BERITA

Perkembangan Musim Baharu Selangor FC 2

Dec 10, 2021 - FAS

Selangor FC 2 merupakan pasukan feeder kem Gergasi Merah yang telah ditubuhkan pada tahun 2020. Bakat-bakat muda bermula pada usia 17 tahun dan ke atas yang sudah bersedia diberi pendedahan di peringkat Liga Premier (divisyen 2 Malaysia).

Objektif penubuhan pasukan feeder ini adalah untuk membangunkan bakat-bakat muda bagi skuad utama Selangor, memberi landasan yang lebih baik untuk mengetengahkan bakat-bakat baru, selain menjamin kelangsungan kelab untuk jangka masa panjang.

Beberapa pemain Selangor FC 2 telah diberi kepercayaan diserap ke pasukan utama seperti Sharul Nazeem, Aliff Haiqal Lau, Danial Asri, Mukhairi Ajmal, Zikri Khalili dan Sikh Izhan. Mereka terbukti telah memberi impak yang baik bersama pemain senior dalam mengharungi musim 2021.

Seperti yang sedia maklum, dua pemain tonggak pasukan Selangor FC 2 musim 2020-2021 iaitu Harith Haiqal, kapten pasukan bermain di posisi bek tengah serta Azrin Afiq, pertahanan kiri menjadi kelompok pelapis kedua yang berjaya menyenaraikan nama mereka bersama pasukan utama 2022.

Barisan pemain Selangor FC 2 pula mengekalkan 20 orang pemain termasuk tiga pemain import musim lalu bagi menghadapi saingan Liga Premier 2022 serta kemasukan tujuh pemain muda baharu daripada Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Pasukan ini juga bakal dilatih oleh gabungan jurulatih tempatan yang akan diketuai oleh legenda Gergasi Merah, Rusdi Suparman. Beliau akan dibantu oleh seorang jurulatih muda berpengalaman yang pernah bersama kem Merah Kuning selama sembilan tahun dan pernah membawa pasukan utama Selangor FC ke perlawanan akhir Piala FA 2018 sebagai ketua jurulatih, Nazliazmi Mohd Nasir dan antara jurulatih pasukan AMD yang pernah menjuarai pertandingan di Belanda dan Jerman, Khushairi Abdul Wahab.

Lebih menarik, antara nama besar lain yang membarisi kakitangan kejurulatihan Selangor FC 2 musim hadapan adalah Shuhaimi Abdul Hamid, jurulatih penjaga gol yang pernah bersama johan Piala Presiden 2017 dan naib juara Piala FA 2018. Beliau pernah melatih Norazlan Razali, Khairulazhan Khalid, Khairul Fahmi Che Mat, Yazid ahmad, Badrul Zaman, Zamil Selamat, Haziq Ridwan, Sikh Izhan dan Firdaus Irman. Selain itu, bekas jurulatih kecergasan skuad bawah 22 negara yang juga pernah berkelana di liga Vietnam, Mashiedee Sulaiman.

 

SENARAI PENUH PEMAIN SELANGOR FC2 MUSIM 2022

PENJAGA GOL: Aqil Fadhly (24), Alim Al Amri (20), Syahmi Adib (19)

PERTAHANAN: Iqmal Ramlan (21), Jordan Ayimbila (21), Izzul Adham (20), Faiz Amer (19), Alif Farhan (18), Daniel Edzuan (18), Fakrul Fareez (18), Izrin Ibrahim (18),

PEMAIN TENGAH: Syazwan Salihin (24), Saiful Iskandar (23), Alex Agyarkwa (22), Sharvin Selvakumaran (22), Khairul Naim (22), Hein Htet Aung (21), Saravanan Thirumurugan (21),  Fahmi Daniel (20), Azannis Adzri (19), Haziq Zaki (19), Aliff Izwan (18), Nabil Qayyum (18)

PENYERANG: George Attram (22), Nazrin Nasir (19), Khairi Suffian (19), Abdul Rahman (18)

Nota: *(xx) umur pada tahun 2022

Selangor FC berharap pasukan feeder dapat terus memberikan impak positif kepada industri bola sepak negeri Selangor terutamanya dari segi pembangunan akar umbi selain memperkasakan transformasi kelab ini secara menyeluruh.

Demi Kebanggaan!