SELANGOR FC
BERITA

Kenali Pemain: Harith Haiqal

Dec 04, 2021 - FAS

Harith Haiqal Adam Afkar merupakan pemain muda Selangor FC 2 yang berjaya membuat beberapa penampilan bersama pasukan utama musim ini dan telah diberi kepercayaan untuk membuat peralihan dari Selangor FC 2 ke pasukan senior musim 2022 seperti yang diumumkan minggu lepas.

Bakat Harith dalam bola sepak telah diintai oleh pegawai Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) semasa beliau beraksi untuk sekolahnya di bawah 12 tahun sebelum menyertai Akademi Mokhtar Dahari (AMD). 

Pemain kelahiran Klang ini pada awal perjalanan bola sepaknya merupakan seorang pemain penyerang namun bakatnya mengendali di bahagian pertahanan sebagai bek tengah bermula bersama pasukan AMD dan sehingga kini beliau menyinar di posisi tersebut.

Menjadi antara watak utama pasukan bawah 18 kebangsaan pada tahun 2019, Harith menjadi antara pemain AMD yang menandatangani kontrak profesional pertamanya bersama Selangor FC sebaik sahaja tamat pembelajaran di peringkat sekolah menengah. 

Beliau kemudian berjaya menyenaraikan namanya bersama pasukan feeder Selangor FC 2 setelah mempamerkan aksi yang memberangsangkan semasa perlawanan tiga penjuru menentang pemain muda Gergasi Merah yang dikendalikan oleh Michael Feichtenbeiner pada hujung tahun 2019.

Bakat dan ketenangan yang dimiliki Harith, beliau berjaya menjadi pemain tonggak pasukan Selangor FC 2 dalam saingan Liga Premier pertamanya mengendali bahagian bek tengah bersama Sharul Nazeem, ketua pasukan musim 2020.

Pengalaman demi pengalaman yang ditimba musim lalu, untuk saingan Liga Premier musim 2021 beliau pula menggalas tanggungjawab menjadi ketua pasukan serta mengendali di bahagian tengah dengan baik sehingga mendapat panggilan beraksi bersama pasukan utama sebagai pemain gantian yang menyarung jersi nombor 55 dalam empat perlawanan.

Selain pencapaiannya bersama kelab Selangor FC musim ini, beliau juga telah menjadi antara pemain tonggak pasukan bawah 23 tahun negara yang muncul juara kumpulan J kempen kelayakan selepas dengan tujuh mata terkumpul daripada tiga aksi menentang Laos, Mongolia dan Thailand yang berlangsung di Ulaanbaatar, Mongolia pada bulan Oktober yang lalu.

Dua tahun beraksi bersama pasukan feeder Selangor FC pasti mematangkan corak permainan Harith Haiqal. Musim hadapan beliau akan bersama pasukan utama dalam saingan tertinggi di Malaysia bagi mendapatkan pendedahan lebih baik.

“Tujuan Selangor FC 2 ditubuhkan untuk memberi pendedahan dan pengalaman kepada pemain seperti saya. Kami masih muda tetapi kami telah diberi peluang untuk menentang lebih ramai pemain senior dan berpengalaman. Ini sedikit sebanyak membantu saya mematangkan corak perlawanan dari masa ke semasa," kata Jebeng, nama panggilannya dalam bilik persalinan.

"Alhamdulillah rezeki saya untuk beraksi bersama pasukan utama Selangor FC telah tiba. Saya akan sentiasa berikan yang terbaik seperti sebelum ini. Saya tidak akan sia-siakan peluang yang diberikan ini. Doakan saya," tambahnya lagi.

Selangor FC mengucapkan tahniah kepada Harith Haiqal dan mendoakan kejayaannya untuk musim 2022 bersama pasukan utama Selangor. Semoga beliau terus mempamerkan aksi yang cemerlang dalam kancah bolasepak Malaysia. Semoga berjaya, Jebeng!

Demi Kebanggaan!