SELANGOR FC
BERITA

Nidzam Jamil Kembali Sebagai Penolong Ketua Jurulatih Pasukan Pertama

Nov 22, 2021 - FAS

Selangor FC teruja untuk kepulangan bekas pemain kelab, Nidzam Jamil, yang akan kembali ke kelab sebagai Penolong Ketua Jurulatih Pasukan Pertama untuk musim 2022 akan datang.

Mohd Nidzam Jamil, anak kelahiran Kajang, Selangor, membuat penampilan sulung pasukan pertama pada 26 Mac 2000 menentang musuh tradisi derbi,  Kuala Lumpur dan membuat penampilan terakhir menentang lawan yang sama pada 29 September empat tahun kemudian.

Menariknya, abang beliau, Mohamed Zaid Jamil turut menyarung jersi Gergasi Merah dari tahun 1993 hingga 1994. Malangnya, Zaid meninggal dunia pada tahun 1994 di kemuncak kariernya. Namun demikian, Nidzam memastikan legasi mereka bersama kelab itu berterusan dalam peranan baharu ini.

Nidzam Jamil memulakan kerjaya kejurulatihannya dengan cemerlang semasa berkhidmat dengan SPA FC dari 2010 hingga 2014, apabila beliau menjadi salah seorang jurulatih termuda yang memenangi kejohanan peringkat kebangsaan peringkat senior di Malaysia iaitu dalam Liga FAM Malaysia 2012, ketika beliau berusia 32 tahun.

Selepas SPA FC, Nidzam juga pernah menjadi jurulatih di AirAsia FC dalam Liga FAM, diikuti dengan membimbing pasukan Bola Sepak Universiti Malaysia dalam kejohanan ‘World University Games Summer Universiade’ yang ke-29 di Taipei 2017. Pada 2017, beliau dilantik sebagai penolong ketua jurulatih Felda United FC, sebelum dinaikkan pangkat menjadi Ketua Jurulatih pada November 2018.

Kami berbesar hati mengalu-alukan kepulangan Nidzam, yang menghabiskan sebahagian besar karier bola sepak profesionalnya bersama Selangor, sebagai sebahagian daripada kakitangan kejurulatihan, di mana kami percaya dia boleh  maju dan terus berkembang. Selain itu, kelab percaya pengalaman dan kredibiliti beliau akan membuatkan beliau menjadi ahli penting yang boleh membimbing kami memperoleh kejayaan masa depan.

Demi Kebanggaan!