The Red Giants

EN
MY
SELANGOR FC
BERITA

Coach Karsten: Kami Memerlukan Penyokong Di Stadium

Oct 27, 2021 - FAS

Selepas berehat tiga minggu untuk memberi laluan kepada perlawanan persahabatan skuad kebangsaan, TM Piala Malaysia 2021 akhirnya kembali semula hujung minggu ini.

Selangor FC juga tidak pernah berhenti untuk mempersiapkan pasukan untuk menghadapi menentang Kuching City FC pada hari Sabtu ini di gelanggang sendiri.

Untuk rekod, Gergasi Merah bakal mengharungi lagi 4 perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia dalam tempoh kurang daripada dua minggu. Dalam dua perlawanan pertama Kumpulan B, mereka menewaskan Perak FC 1-0 di Stadium MBPJ sebelum tumbang tipis 2-1 kepada Terengganu FC.

Walaupun tempoh rehat yang panjang dalam sesebuah pertandingan bukanlah satu perkara yang dimahukan, namun ia telah memberi peluang kepada Red Giants untuk mencorak semula percaturan pasukan, apatah lagi setelah musim 2021 dibelenggu masalah kecederaan.

Lebih penting, tempoh rehat ini juga telah membolehkan beberapa pemain utama pasukan pulih daripada kecederaan dan mencari semula sentuhan terbaik mereka melalui perlawanan persahabatan, kata ketua jurulatih Gergasi Merah, Karsten Neitzel sebelum perlawanan persahabatan menentang Sarawak United.

"Perlawanan persahabatan kami adalah penting bagi pasukan kerana kami mempunyai empat perlawanan sukar kelak. Pasukan juga perlu mengekalkan kecergasan perlawanan mereka, terutama bagi pemain yang baru kembali daripada kecederaan. Ramai pemain yang telah kembali dan memerlukan minit bermain dalam perlawanan persahabatan. Saya mahu pasukan beraksi seperti apa yang mereka akan lakukan minggu depan.”

Ketiadaan beberapa ahli pasukan utama yang lebih muda yang menyertai skuad B23 kebangsaan juga tidak melemahkan keyakinan pengendali Jerman itu menjelang perlawanan pada hari Sabtu ini, malah melihatnya sebagai peluang bagi mereka untuk menyinar dan membanggakan kelab.

Pemain pasukan utama seperti Mukhairi Ajmal, Zikri Khalili, Harith Haiqal dan Sikh Izhan Nazrel, serta pemain Selangor FC 2 Azrin Afiq, Faiz Amer, Fahmi Daniel dan Saravanan Thirumurugan kini berada di Mongolia bagi perlawanan pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 AFC 2022 sehingga awal bulan November ini. Lebih memberangsangkan, Mukhairi telah dinobatkan sebagai kapten skuad dengan Zikri dan Harith sebagai pembantu kapten.

“Sudah tentu kami akan merindui khidmat pemain seperti Ajmal, Zikri dan Harith dalam Piala Malaysia kerana mereka pernah beraksi dalam Liga Super,” akui jurulatih Jerman itu.

“Namun, saya sebenarnya gembira karena mereka telah pergi ke Mongolia dengan membawa nama Malaysia.

"Saya tidak akan merungut mengenainya, malah kami berbangga kerana pemain dari kelab ini yang dipanggil menyertai pasukan B-23 kerana ia sesuatu yang baik."

Tetapi yang paling penting, tempoh rehat yang diberikan itu juga memberi peluang kepada Selangor FC serta kelab lain untuk bersiap sedia sempena kembalinya penyokong ke stadium selepas pengumuman kerajaan Malaysia dan pengelola liga Malaysia, Malaysian Football League (MFL) awal bulan ini.

Neitzel menggesa penyokong setia Red Giants untuk menaruh keyakinan kepada kelab dalam empat perlawanan kumpulan yang akan datang, walaupun perlawanan yang akan dihadapi dijangka penuh liku.

"Memang mudah bagi penyokong bola sepak secara amnya untuk menyokong pasukan apabila mereka mendahului 2-0, 3-0. Tetapi ketika pasukan sedang bergelut, pada saat itulah kami amat memerlukan penyokong kami. Kami benar-benar memerlukan mereka dalam perlawanan, lebih-lebih lagi apabila keadaan tidak berjalan 100 peratus seperti yang dirancang.Itulah perbezaan besar yang boleh mereka sumbangkan," ingat Neitzel.

“Pada awal musim ini, kami mempunyai antara 2,500 dan 3,000 peminat di tempat duduk. Melalui atmosfera yang berbeza, mereka telah membantu kami memberikan aksi yang lebih baik.”

Biarpun segalanya tampak positif di kem Selangor menjelang perlawanan menentang Kuching City FC pada hujung minggu ini, Gergasi Merah turut memberikan indikasi yang boleh menjadikan penyokong lebih optimis.

Biarpun perlawanan persahabatan pertama Selangor FC sewaktu tempoh senggang Piala Malaysia ini telah berakhir dengan kekalahan  3-1 kepada PDRM FC pada 13 Oktober, mereka bangkit tiga hari kemudian untuk mengetepikan Petaling Jaya City 1-0.

Lebih manis, beberapa jam selepas temu bual ini dilakukan, pemain-pemain bimbingan Karsten Neitzel telah mencatat kemenangan 2-0 ke atas naib juara Liga Perdana dan pendahulu Kumpulan A, Sarawak United.

Mungkin juga rezeki sehaluan dengan sentimen ini. Semasa wawancara ini dijalankan di tepi padang stadium, pelangi mengintip dari sebalik awan hujan yang berlegar tinggi di atas stadium, mungkin menandakan perkara yang baik akan datang kepada mereka yang bekerja keras dan terus percaya pada diri mereka sendiri!

Disediakan oleh: Zulhilmi Zainal

 

P/S: Dapatkan tiket perlawanan TM Piala Malaysia 2021, Selangor FC bertemu Kuching City FC anda sekarang di bit.ly/3BnTSaJ