The Red Giants

EN
MY
SELANGOR FC
BERITA

Ashmawi Yakin Sedia Untuk Peranan Yang Lebih Besar

Oct 23, 2021 - FAS

Bagi pemain pertahanan Selangor FC, Ashmawi Yakin perlawanan sebelum ini bagi beliau merupakan perlawanan yang cukup istimewa. Dalam perlawanan TM Piala Malaysia 2021 menentang Terengganu FC pada 29 September yang lalu, pemain pertahanan ini telah berjaya menjaringkan gol pertamanya buat Gergasi Merah.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Kuala Terengganu, Ashmawi telah menyempurnakan rebound yang berlaku dari percubaan Wan Zack Haikal pada minit ke-75, dan pemain pertahanan itu melepaskan sepakkannya ke gawang untuk menewaskan penjaga gol tuan rumah.

Namun, tiada aksi keraian gol dari beliau kerana mengalami kecederaan selepas menjaringkan gol dan terpaksa dikeluarkan terus daripada perlawanan.

Pemain pertahanan berusia 27 tahun itu bagaimanapun kini telah kembali cergas dan telah kembali berlatih bersama pasukan dan bertekad untuk kembali semula ke kesebelasan utama pasukan apabila saingan Piala Malaysia bersambung hujung bulan ini.

“Saya tidak boleh mengatakan bahawa saya terlalu gembira selepas menjaringkan gol pertama saya di Selangor. Lagipun, dalam perlawanan tersebut kami tewas.”

"Tetapi, Alhamdulillah. Kini saya sudah mula meneruskan latihan seperti biasa dan sedang berusaha untuk kembali pulih sepenuhnya. Pasukan juga sedang melakukan persiapan dengan baik dan kami sudah bersedia untuk memberikan yang termampu," kata pemain pertahanan tengah itu.

Pemain kelahiran Negeri Sembilan ini juga yakin dengan peluang The Red Giants pada edisi ke-100 Piala Malaysia.

"Selangor mempunyai peluang untuk menjadi juara," katanya.

"Tetapi yang penting adalah untuk melakukan yang terbaik dan berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam setiap perlawanan dan tidak akan pernah berpuas hati dengan hanya sesebuah kemenangan.”

"Kami harus terus fokus pada perlawanan seterusnya."

Perjalanan Ashmawi bersama Gergasi Merah sangat luar biasa. Setelah menghabiskan tiga musim pertamanya di sini sebagai pemain gantian, masalah kecederaan yang melanda kelab telah membuka peluang bagi beliau memperoleh 12 penampilan Liga Super Malaysia dan dua perlawanan Piala Malaysia.

"Saya gembira kerana Selangor masih mengekalkan saya untuk menjadi sebahagian daripada pasukan. Tidak mudah bagi saya untuk bersama pasukan selama empat tahun sebagai pemain gantian.”

"Yang penting adalah saya bekerja keras dan terus percaya pada diri sendiri."

Ketika ditanya mengenai pemain paling mencabar yang pernah dihadapinya di Selangor, Ashmawi menamakan salah seorang bekas pemain Selangor.

"Dalam empat tahun saya di sini, penyerang paling sukar yang saya hadapi sebagai pemain pertahanan adalah Syazwan Zainon, terutama ketika dia bersama Kedah pada tahun 2018.

"Saya masih ingat perlawanan di Alor Setar, dia begitu licik dan sentiasa mencari cara baharu untuk melepasi barisan pertahanan kami," imbas graduan Sekolah Sukan Bukit Jalil itu.

Ashmawi kemudian bertemu Syazwan sebagai rakan sepasukan pada 2019 dan 2020 ketika pemain sayap itu menyertai Selangor dalam dua musim ini. Dia kini kembali bersama Helang Merah.

Sebelum mengakhiri perbualan, kami tidak dapat menahan diri daripada bertanya kepada Ashmawi mengenai gelaran ‘Haji’ yang menjadi nama timangannya di kelab.

Ashmawi mendedahkan bahawa ini adalah mungkin kerana dia antara yang telah menunaikan ibadah umrah beberapa tahun yang lalu pada usia muda.

"Alhamdulillah, saya diberi giliran untuk mengunjungi Mekah pada usia muda. Saya tidak berfikir dua kali untuk melaksanakannya. Lebih baik kita melakukannya ketika kita berada di puncak keadaan fizikal kita, jika kita tidak mempunyai kekangan kewangan.”

"Tambahan lagi, tiada jaminan bahawa kita akan memiliki kesempatan lain untuk pergi di kemudian hari, seperti bagaimana sekarang lebih sukar untuk melakukan perjalanan ke sana kerana sekatan COVID-19," kata Ashmawi sebelum mengakhiri temubual.

Disediakan oleh: Zulhilmi Zainal