SELANGOR FC
BERITA

Kenali Ahli Psikologi SFC; Bryan Win

Oct 20, 2021 - FAS

Dalam bola sepak moden, setiap kelab perlu untuk memberikan sedaya upaya mereka demi memaksimumkan prestasi pemain. Walaupun prestasi setiap pemain selalunya berkait rapat dengan faktor fizikal dan atletik, peranan psikologi dalam membantu seseorang pemain untuk mencapai kemuncak permainan mereka juga dilihat sebagai satu lagi faktor yang penting.

Menyedari kepentingan kesihatan mental yang baik dalam kalangan pemain, Selangor FC telah mengambil langkah proaktif bermula awal tahun ini dengan menawarkan kepada para pemainnya perkhidmatan psikologi sukan sepenuh masa.

Bryan Win, yang memiliki ijazah sarjana psikologi dari United Kingdom dan pernah menjalani latihan di Institut Sukan Negara (ISN), telah dilantik sebagai ahli psikologi Selangor FC.

Bryan dalam sebuah temu ramah baru-baru ini, menjawab beberapa persoalan menarik mengenai keunikan kerjayanya di Selangor FC. 

Apa yang membuatnya memutuskan untuk mengikuti profession ini?

"Saya menamatkan pengajian dalam bidang psikologi dan pada mulanya saya ingin memasuki psikologi klinikal. Saya kemudiannya menjalani latihan industri di Institut Sukan Negara (ISN). Pengalaman latihan saya di sana telah membantu saya membuat keputusan bahawa inilah yang saya mahu lakukan.”

"Minat berlatih dan bermain bola sepak sewaktu kanak-kanak sekolah juga mendorong saya memilih kerjaya ini. Saya berhasrat untuk bermain secara lebih kompetitif tetapi sering dilanda kecederaan. Walaupun kecederaan itu bukan masalah utama, apa yang lebih sukar adalah untuk kembali bermain seperti sedia kala.”

“Secara fizikal saya baik-baik saja, tetapi ada sesuatu di fikiran saya yang menahan saya daripada beraksi sebaiknya. Jadi, saya ingin membantu atlet berprestasi lebih baik dari faktor psikologi, kerana jujurnya, sewaktu saya muda, saya tidak mendapat sokongan yang saya perlukan," jelas Bryan.

Apa sebenarnya yang dilakukan oleh ahli psikologi sukan kelab bola sepak sepenuh masa?

"Saya akan bersama pasukan sewaktu sesi latihan, selain menyediakan diri saya sebelum dan selepas sesi latihan sekiranya ada pemain mahu mendapatkan khidmat psikologi. Saya akan menyampaikan info-info yang penting kepada jurulatih, tetapi info yang perlu sahaja. Info yang saya kongsikan itu jika saya rasakan ia perlu, semuanya demi kepentingan seseorang pemain.”

"Saya juga akan memperhatikan sesi latihan dan memberikan maklum balas saya kepada jurulatih. Kakitangan pelatih melihat aspek taktikal, tetapi saya mengkaji kelakuan setiap pemain dan tindak balas mereka dalam situasi tertentu; terutamanya aspek tingkah laku dan keadaan mental mereka.”

"Di Selangor FC, saya bukan sahaja bekerjasama dengan pemain untuk meningkatkan prestasi mereka, tetapi saya turut memastikan bahawa kesejahteraan mental umum mereka. Saya percaya bahawa keadaan mental insan yang lebih baik bakal membuatkan mereka pemain bola sepak yang lebih baik."

Tetapi, Bryan faham yang beliau perlu mendapatkan kepercayaan dari pemain-pemain ini terlebih dahulu dan bersyukur kerana mendapat sokongan staf pelatih.

"Saya harus menjelaskan kepentingan kesihatan psikologi kepada mereka terlebih dahulu kerana ramai yang beranggapan bahawa ia hanya untuk mereka yang 'koyak'. Saya mengatakan kepada mereka bahawa psikologi sukan bukan hanya untuk ketika mereka memerlukan bantuan dari segi mental, malah psikologi sukan juga boleh membantu mereka memperbaiki diri sendiri, terutamanya bagi pemain muda yang berusaha untuk masuk ke dalam pasukan utama.”

"Saya hadir ke SFC bukan kerana terdapat pemain 'rosak' di sini, mereka tidak gila. Saya sangat gembira kerana jurulatih juga mempunyai visi yang sama dengan saya, untuk melihat bahawa keadaan psikologi yang lebih baik dalam pasukan, dan bukan hanya ketika seseorang pemain menghadapi masalah. Saya bersama mereka sepanjang masa, malah kadang-kala membantu untuk menghantar bola jika diperlukan!" kata Bryan sambil ketawa.

Salah faham lain yang ingin Bryan padamkan adalah gambaran sesi luahan formal melakukan dengan pelanggan di ruangan terapi, seperti yang biasa kita lihat di rancangan televisyen dan filem.

"Ia sedikit berbeza bagi kami berbanding psikologi klinikal dan kaunseling, kerana mereka biasanya masuk ke ruangan terapi selama satu jam untuk membicarakan masalah. Tetapi bagi saya, saya biasanya berbual dengan pemain di luar bilik persalinan sementara mereka bersiap-siap. Sekiranya mereka ingin membincangkan lebih lanjut mengenai masalah ini, maka kami akan duduk di sebelah padang, misalnya selepas sesi latihan.”

"Tidak terlalu lama dan tidak terlalu tidak formal, hanya antara 10 hingga 15 minit. Ini lebih kepada reaksi terhadap setiap masalah yang timbul yang melibatkan mereka."

Oleh kerana pemain Selangor 2 terdiri daripada pemain muda dan remaja; apakah topik yang paling kerap dibincangkan oleh mereka?

"Ketika saya pertama kali tiba, ini merupakan tempoh pra-musim dan mereka telah berehat lama, lebih-lebih lagi setelah COVID melanda. Jadi, masalah yang paling biasa pada masa itu adalah dengan tidur mereka. Mereka merasa sukar untuk tidur tepat pada waktunya pada waktu malam.”

"Itu adalah sesuatu yang harus saya berikan perhatian dan ia bertambah baik setelah beberapa bulan. Sebab dan penyelesaiannya berbeza-beza untuk setiap pemain, tetapi strategi asasnya adalah dengan mengatur semula waktu tidur secara beransur-ansur," jawabnya.

Sewaktu ditanya adakah terdapat contoh khusus di mana perkhidmatannya membantu mengubah keadaan pemain di SFC, Bryan berkongsikan satu situasi tanpa memberitahu siapa pemainnya.

"Pemain muda ini, dia tidak mempunyai masalah; dia cuma menaruh harapan yang terlalu tinggi terhadap dirinya sendiri. Oleh itu, saya telah membantu beliau menguruskan persepsi tersebut kerana minda yang demikian telah memberi terlalu banyak tekanan terhadap dirinya sendiri. Terlalu banyak tekanan akan mempengaruhi prestasi pemain.”

"Kami membantu beliau dengan mengelakkan dari ‘over-thinking’, dan beliau mula menunjukkan prestasi yang lebih positif selepas beberapa bulan. Beliau berhenti bimbang tentang persembahannya ketika beliau beraksi di padang, dan beliau juga dapat mengalihkan fokusnya untuk menjadi pemain yang lebih baik," jelas bekas pelatih ISN itu.

Bryan juga mempunyai pesanan khas kepada peminat Selangor FC ketika ditanya di akhir wawancara:

“Dunia hari ini bukanlah tempat yang baik, terutamanya sewaktu pandemik ini. Jadi, adalah lebih baik untuk kita menyebarkan perkara positif berbanding benda-benda toksik. Semua orang melalui masa yang sukar termasuk pemain bola sepak. Jadi tak perlu untuk kita menjatuhkan mereka dan menggelarkan mereka ‘bodoh’ atau panggilan-panggilan yang tidak baik.”

“Ada perbezaan memberi teguran atau pandangan kritikal dengan mencerca, tag ahli keluarga mereka di media sosial. Memberi teguran itu bagus, cuma perbuatan memaki hamun secara peribadi ini adalah sangat tidak perlu.”

“Hidup Selangor!"

Disediakan oleh: Zulhilmi Zainal