SELANGOR FC
BERITA

Aliff Haiqal Lau: Hargai Peluang Beraksi Bersama Skuad Senior

Mar 25, 2021 - FAS

Adalah menjadi impian setiap pemain bola sepak untuk bermain di liga tertinggi bola sepak profesional di negara mereka sendiri dan adalah lebih indah jika impian tersebut berjaya dikecapi pada usia yang muda.

Sedar atau tidak, pasukan Selangor FC (SFC) merupakan antara pasukan di Malaysia yang menyenaraikan paling ramai pemain berusia bawah 23 tahun dalam skuad utama pasukan dalam kalangan pasukan yang bertanding di Liga Super 2021 dengan 9 orang.

Dari sembilan orang pemain muda tersebut, tujuh daripadanya merupakan muka-muka baharu yang diserap masuk daripada pasukan pelapis, Selangor 2 ke pasukan utama sejak bulan Disember 2020 bagi menghadapi kejohanan Liga Malaysia.

Tujuh pemain tersebut adalah penjaring gol tempatan terbanyak Liga Premier 2020, Danial Asri (21 tahun), pemain tengah Aliff Haiqal Lau (21 tahun) dan Mukhairi Ajmal (20 tahun), pemain pertahanan tengah, Jordan Ayimbila (20 tahun), Sharul Nazeem (22 tahun), pertahanan kiri, Ahmad Zikri (19 tahun) dan penjaga gol, Sikh Izhan (19 tahun).

Aliff Haiqal Lau merupakan salah seorang pemain muda yang telah diberi kepercayaan oleh ketua jurulatih Selangor FC, Karsten Neitzel beraksi dalam kelima-lima perlawanan Liga Super 2021 sebelum liga berehat seketika untuk memberikan laluan untuk persediaan skuad kebangsaan.

Untuk rekod, setakat ini Aliff telah bermain sebanyak 258 minit dan telah tersenarai dalam kesebelasan utama untuk dua perlawanan dan acap kali mencipta gerakan berbahaya bagi skuad Gergasi Merah, seperti melakukan satu ‘assist’ sewaktu menentang Sri Pahang FC untuk gol ke-3 Selangor.

Menurut Aliff, beliau merasakan peluang yang diberikan tersebut membawa kesan positif terhadap dirinya dan akan terus memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan.

"Peluang tersebut adalah sangat positif untuk diri saya terutamanya apabila ketua jurulatih Gergasi Merah, Coach Karsten percaya dengan kebolehan saya dan memberikan saya peluang untuk beraksi bersama pemain-pemain senior Selangor FC musim ini," jelas Aliff.

"Daripada lima perlawanan tersebut, banyak benda yang saya dapat belajar dan matlamat saya masih sama iaitu akan sentiasa berusaha untuk beraksi dengan 110% pada setiap kali diturunkan."

Bagaimanapun, Aliff tidak menyembunyikan perasaannya yang sentiasa mahu memperbaiki diri sendiri demi membantu Selangor FC kembali digeruni di Malaysia dan pentas Asia.

"Saya akan tingkatkan usaha untuk jadi pemain yang lebih baik dari masa ke semasa demi kebaikan diri sendiri dan juga pasukan. Saya juga berharap semua rakan sepasukan serta pihak pengurusan untuk terus kekal positif dan berusaha mencapai objektif Selangor FC bersama," tegasnya.

Usaha pemerkasaan pemain-pemain muda berpotensi ini merupakan sebahagian pelan jangka masa panjang pihak pengurusan SFC dalam menjadikan kelab ini sebagai kelab yang mampan, selain membentuk pemain-pemain hebat dengan DNA bola sepak yang tersendiri.

Selangor FC berharap agar Aliff dan semua pemain muda SFC yang lain dapat manfaatkan peluang yang diberikan untuk terus mendapat kematangan dalam permainan mereka dan dapat membantu mengembalikan zaman kegemilangan pasukan Selangor. Terus berjuang demi lencana di dada, Aliff dan rakan-rakan!

Demi Kebanggaan!