Selangor 6 Johor 0
Oleh SELANGORFC.COM    Selasa, 26 Januari 2010 23:57   

Selangor teruskan penguasaan ke atas pasukan bimbingan Razip Ismail Seakan harimau luka setelah diaibkan Terengganu di Kuala Terengganu Sabtu lalu, Selangor mengotakan janji untuk bangkit dengan menjadikan Johor sebagai santapan hasil kemenangan 6-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam tadi.

Walaupun tidak lagi hadir dengan reputasi hebat sepertimana skuad bimbingan Michael Urukalo dan Wan Jamak Hassan di awal 90-an dulu, skuad Jengking pasti menghidu peluang untuk mengejutkan tuan rumah melihatkan aksi kurang bermaya Selangor Sabtu lalu.

Namun, Selangor mematikan angan-angan pasukan pelawat apabila mengasak sebaik sahaja wisel permulaan ditiup pengadil R Krishnan dan hasilnya membuka tirai jaringan seawal minit ke-5 apabila hantaran Nasriq Baharom di sebelah kanan disambut Amirulhadi Zainal yang pantas melambungkan bola melepasi penjaga gol Johor Amron Jaihan yang keluar dari garisan golnya untuk menghalang.

Kealpaan Razman Roslan yang membolehkan penyerang pelawat Fahian Roslan melepasi kawalannya lantas membuat percubaan yang sekadar singgah di tiang gol pada minit ke-26 pasti mengembalikan igauan buruk K Devan yang masih berang dengan kelalaian barisan pertahanannya yang mudah diperkotak-katikkan Terengganu dalam perlawanan terdahulu.

Setelah percubaan cantik P Gunalan ditepis Amron pada minit ke-29, Selangor menambah jaringan dua minit kemudian menerusi sepakan sepakan deras Safee Sali luar kotak penalti. Menerima bola membelakangi gol, beliau berpusing melarikan bola melepasi seorang pemain pertahanan lawan sebelum melepaskan sepakan yang menerjah jaring.

Safee yang dikritik peminat Selangor berikutan persembahan turun-naiknya sepanjang tahun lalu membuktikan sentuhannya masih berbisa menerusi satu lagi ledakan dari luar kotak penalti yang menerjah penjuru kiri gol Johor pada minit ke-42 setelah menerima hantaran Amirulhadi membolehkan skuad Gergasi Merah selesa mendahului 3-0 menuju ke bilik persalinan.

Jika Johor beranggapan Selangor sudah berpuas hati dengan jurang 3 gol, ternyata mereka silap apabila skuad tuan rumah masih lagi bernafsu besar menambah jaringan sebaik sahaj aksi babak kedua bersambung.

Namun dalam keghairahan Selangor mencari gol, pasukan pelawat terlebih dahulu mengancam apabila salah faham di antara penjaga gol Hamsani Ahmad dan Razman hampir menghadiahkan gol kepada Johor namun aksi kelam-kabut di hadapan gol itu berakhir dengan Khairul Anuar Baharom berjaya mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Seminit selepas itu, Razman menjaringkan gol keempat Selangor setelah lariannya tidak dihalang lawan untuk mudah menewaskan Amron pada minit ke-52.

Safee berpeluang menjaringkan hatrik pada minit ke-68 tetapi lariannya yang melepasi perangkap ofsaid lawan berjaya dihalang penjaga gol Johor dalam situasi satu lawan satu sebelum bola muntah yang disambar Amirulhadi tersasar.

Aksi seterusnya adalah milik alumni kedua-dua pasukan. Bekas penyerang Johor, Azrine Efendy Sa'dudin yang masuk menggantikan Liew Kit Kong untuk Selangor 10 minit sebelumnya membuat larian pantas di sebelah kiri melepasi beberapa pemain pertahanan sebelum membuat hantaran cantik namun gagal disudahkan rakan sepasukan barunya pada minit ke-70.

Seminit kemudian, giliran bekas pemain Piala Presiden Selangor, Adib Aizudin Latif pula untuk cuba menjaringkan gol saguhati Johor namun sepakannya walaupun menewaskan Hamsani sekadar menggegar palang gol.

Minit ke-83, Selangor memperolehi sepakan percuma dalam kawasan Johor namun sepakan yang diambil pemain gantian D Surendran berjaya ditepis keluar oleh Amron yang bekerja keras malam ini. Bagaimanapun seminit kemudian beliau tidak dapat berbuat apa-apa apbila Amirulhadi menjadikan kedudukan 5-0 setelah tandukan lemahnya hasil sepakan sudut Hardi Jaafar berjaya menerjah jaring.

Malam penuh derita buat Amron dan Johor berterusan apabila beliau tertumbuk bola sepakan percuma Safiq Rahim ke dalam gawangnya sendiri dua minit sebelum perlawanan berakhir, menjadikan kedudukan 6-0.

SELANGOR: 21-Mohd Hamsani Ahmad, 3-Mohd Razman Roslan (19-D.Surendran), 5-Khairul Anuar Baharom, 6-Mohd Nasriq Baharom, 15-P.Gunalan, 20-Mohd Amirulhadi Zainal, 8-Safiq Rahim, 14-Mohd Hardi Jaafar, 18-Liew Kit Kong (16-Azrine Efendy Sa'duddin), 17-Mohd Amri Yahyah, 10-Mohd Safee Sali (9-Rudie Ramli) JOHOR: 22-Amron Jaihan, 3-Hishamuddin Othman (5-Ismail Suboh), 4-Adib Aizuddin Ab. Latif, 6-Rezuan Radzy, 15-Razdi Jasman, 16-K.Puvinderan Naidu (9-Rosiful Nizam Omar), 17-Fahian Roslan, 18-L.Rajesh, 19-Shaharuddin Abd. Kadir, 23-Irfan Abd. Ghani (2-S.Kumaresan), 24-Shoufiq Kusaini