SELANGORFC.COM

Tools
A+ R A- wide normal
Register Login
  • Skip to content
  • Utama
  • Berita
    • 2010
    • 2011
  • Perlawanan
  • Pemain
    • Senior 2012
    • Kebangsaan
    • Import
  • Statistik
    • Kedudukan 2011
    • Prestasi 2011
    • Statistik 2011
  • Sejarah
    • Liga
    • Piala Malaysia
  • Stadium
  • Rencana
    • Editorial
    • Temubual
  • Forum
  • Shop
  • ENGLISH
    • News Archive 2011
    • On Target Mokhtar

Selangor 4 Kedah 0

Sabtu, 06 Mac 2010 23:51 SELANGORFC.COM

Penguasaan barisan tengah serta persembahan bertenaga bahagian sayap memastikan Selangor mencatat kemenangan selesa 4-0 ke atas Kedah sekaligus mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu Liga Super setakat ini.

Hadir dengan reputasi cemerlang di tempat lawan ternyata menarik perhatian kira-kira 5,000 penyokong Kedah untuk hadir ke Stadium Shah Alam memberi sokongan bagi menyaingi kehadiran 15,000 peminat Selangor sekaligus menghangatkan suasana perlawanan.

Jurulatih Selangor K. Devan membuat perubahan di posisi sayap kiri berikutan kecederaan Farderin Kadir dan persembahan tidak menentu Liew Kit Kong dengan meletakkan Safiq Rahim buat pertama kali di posisi tersebut sambil bekas pemain Kedah, Bunyamin Umar mengambil tempat Safiq untuk bergandingan dengan Hardi Jaafar di barisan tengah.

Menguasai perlawanan sejak wisel permulaan, percubaan awal Amri Yahyah, Safee Sali, Safiq Rahim dan Hardi Jaafar menguji Helmi Eliza Elias di gawang Kedah di samping pelawat turut berpeluang mengejutkan Selangor menerusi percubaan penyerang Azlan Ismail yang berjaya melepasi kawalan namun sepakannya tinggi melepasi palang.

Namun pada minit ke-26 gol yang dicari Selangor hadir jua menerusi Safee Sali.

Hantaran Safiq Rahim dari bahagian tengah yang cuba mencari larian Amirulhadi Zainal di bahagian sayap kiri berjaya dibaca pertahanan Kedah Khairul Helmi Johari namun tampanan lemahnya memberikan bola kepada Safee.

Safee lantas melepaskan sepakan deras dengan kaki kiri menewaskan Helmi Eliza tatkala pandangan beliau sedikit terhalang oleh Shahril Faizal yang berada di hadapannya sekaligus menggembirakan penyokong Selangor untuk kedudukan 1-0.

Hanya tiga minit berselang Amirulhadi berpeluang menggandakan jaringan Selangor namun beliau memilih untuk menyepak sipi tatkala Safee yang berada di posisi yang lebih baik sudah menunggu di hadapan pintu gol.

Setelah beraksi hambar sejak menyarung jersi Merah Kuning musim ini, Bunyamin memilih malam ini untuk menunjukkan kemampuan sebenar beliau dengan variasi kekangan terhadap lawan, hantaran-hantaran kemas dan sekali-sekala membuat larian pantas memasuki kotak penalti Kedah ternyata mengunci sama sekali barisan tengah lawan.

Malah salah satu terjahan beliau terhadap pemain muda Kedah Arfan Rasyid pada minit ke-35 mengakibatkan beliau dihadiahkan kad kuning oleh pengadil perlawanan Sukri Abdul Rahman di samping memaksa Arfan diusung keluar dan diganti dengan Faizal Abu Bakar.

Selangor tidak menunggu lama selepas insiden itu untuk menambah jaringan pada minit ke-39 menerusi Amirulhadi yang menyudahkan gerakan satu dua beliau dan Hardi Jaafar sekaligus menebus kembali kegagalan penyudah beliau sebelum ini untuk membolehkan Selangor mendahului 2-0.

Tersentak dengan dua gol yang membolosi gawang mereka, kelalaian barisan pertahanan Kedah hampir dihukum lagi dua minit kemudian apabila Amri Yahyah menanduk masuk bola hantaran dari bahagian sayap namun tidak dibenarkan pengadil berikutan beliau berada dalam kedudukan offside.

Kedah pastinya lega apabila Sukri menamatkan aksi babak pertama sekaligus menghentikan serangan bertali-arus pasukan tuan rumah.

Bermula aksi babak kedua, seperti lazimnya Selangor apabila selesa mendahului mula melonggarkan penguasaan permainan lantas membolehkan pemain Kedah mula mengatur beberapa gerakan bagi merapatkan jurang.

Kecederaan dialami ketua pasukan Kedah, Shahrulnizam Mustafa hanya empat minit selepas aksi separuh masa kedua dan terpaksa diganti dengan Shafizan Hashim sebenarnya tidak melemahkan semangat pasukan pelawat sebaliknya kehadiran Shafizan jelas menambah tenaga dalam aksi keseluruhan skuad Hijau Kuning itu.

Pemain sayap Kedah, Baddrol Bakhtiar yang bersama Azlan merupakan dua pemain yang beraksi cemerlang tatkala rakan sepasukan yang lain mempamerkan permainan hambar hampir menewaskan penjaga gol Selangor Hamsani Ahmad pada minit ke-54 namun sepakannya berjaya ditepis keluar.

Selangor menghukum kegagalan Kedah untuk menterjemahkan penguasaan awal babak kedua itu kepada jaringan apabila Amri Yahyah menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-60.

Bermula dari larian pantas Bunyamin di bahagian sayap kiri memerangkap pertahanan lawan sebelum beliau manghantar bola kepada Amirulhadi di hadapan pintu gol Kedah yang kemudiannya dilorongkan pula kepada Amri yang bijak melambungkan bola menewaskan Helmi Eliza.

Selesa mendahului, K. Devan membuat pertukaran pertama dengan memasukkan D. Surendran bagi menggantikan Razman Roslan.

Ternyata pertukaran itu terus menampakkan hasil apabila hantaran Surendran disambut baik Amirulhadi yang mudah menewaskan Helmi Eliza pada minit ke-76 untuk gol keempat Selangor.

Selangor berpeluang menambah derita Kedah namun mensia-siakan beberapa peluang keemasan yang terhidang terutama oleh pemain gantian Azrine Efendy Sa'duddin pada penghujung babak perlawanan apabila beliau gagal melepaskan sepakan sebaliknya memilih untuk cuba mengelilingi Helmi lantas membolehkan penjaga gol lawan itu menutup ruang.

SELANGOR: 21.Mohd Hamsani Ahmad, 3.Mohd Razman Roslan (19.D.Surendran), 5.Khairul Anuar Baharum, 6.Mohd Nasriq Baharom, 15.P.Gunalan, 20.Mohd Amirulhadi Zainal (16.Azrine Efendy Sa'duddin), 12.Mohd Bunyamin Umar, 14.Mohamad Hardi Jaafar, 8.Safiq Rahim, 17.Mohd Amri Yahyah (c), 10.Mohd Safee Sali (23.R.Surendren) KEDAH: 1.Helmi Eliza Elias, 17.V.Thirumurugan, 3.Shahril Faizal Sharifuddin, 20.Khairul Helmi Johari, 21.Sabre Mat Abu, 7.Baddrol Bakhtiar, 8.Shahrulnizam Mustafa (c) (6.Shafizan Hashim), 29.Arfan Rasyid (24.Faizal Abu Bakar), 9.Azmi Muslim, 13.Saramsak Kram (27.Aminuddin Azmi), 14.Azlan Ismail
Tweet
Share
SELANGORFC.COM © 2002-2011 | Dibangunkan oleh Red Yellow Tree



  • Forgot your password?
  • Forgot your username?
  • Create an account
*
*
*
*
*

* Field is required