Selangor memastikan impian untuk menjulang Piala FA edisi 1997 tidak terkubur awal apabila bangkit dari ketinggalan dua gol untuk menewaskan Negeri Sembilan 4-2 dalam perlawanan suku akhir kedua di Stadium Paroi malam tadi seterusnya mara dengan agregat 5-3.
Tuan rumah yang belum tewas sejak tiga perlawanan lalu bagaimanapun bermula penuh keyakinan apabila mendahului menerusi A. Ganeson (m-18) dan Jose Iriarte (m-41).
Azman Adnan yang baru pulih dari kecederaan merapatkan jurang buat Selangor dengan gol cantik sejurus sebelum tamat separuh masa pertama.
Tony Cottee yang gagal menjaringkan gol dalam dua perlawanan terdahulu kemudiannya menyemarakkan kebangkitan pasukan pelawat dengan dua gol (m-49 dan m-70) sebelum Christopher Mandla melengkapkan malam gemilang Selangor dengan jaringannya pada minit ke-85.
Selangor tampil dengan kesebelasan utama terbaik selepas Azman, M Chandran, Mandla dan Zainal Abidin Hassan masing-masing lulus ujian kecergasan sejurus sebelum perlawanan.
Hanya K Gunalan yang menerima penggantungan dan Mehmet Durakovic yang cedera tidak dapat diturunkan jurulatih Steve Wicks bagi merealisasikan janjinya kepada pengurusan dan peminat untuk menggapai tiga piala buat Selangor musim ini.
Tetapi Negeri Sembilan tidak bersedia untuk mengalah begitu sahaja. Hasil sepakan sudut pada minit ke-18, Azmi Mohamed membuat hantaran lambung ke dalam kotak penalti. Kegagalan Shahril Arsat untuk mengawal bola tersebut dengan kemas membolehkan Ganeson mengambil kesempatan untuk menjaringkan gol pendahuluan.
Bagaimanapun malang menimpa tuan rumah apabila penjaga gol utama mereka Othman Katmon terpaksa dikeluarkan berikutan kecederaan pada minit ke-35 dan digantikan dengan bekas penjaga gol Selangor, V. Murugan.
Enam minit berselang apabila Negeri melebarkan jurang perbezaan apabila menghukum satu lagi kesilapan benteng pelawat. Hantaran lemah Talib Sulaiman mudah dipintas Iriarte yang berjaya mengelak hadangan Zainal sebelum melepaskan rembatan deras menewaskan Azlisham Ibrahim di gawang Selangor untuk kedudukan 2-0.
Selangor menghidupkan harapan untuk bangkit apabila seminit sebelum rehat, Azman Adnan melarikan bola melepasi kawalan Khairil Zainal sebelum menyepak masuk menewaskan Murugan.
Selangor tampil lebih bertenaga di separuh masa kedua dalam usaha untuk mencari gol penyamaan. Hasilnya hanya empat minit diperlukan sebelum gol yang dicari tiba.
Azman sekali lagi memerangkap pertahanan lawan apabila mudah melepasi dua pemain Negeri Sembilan sebelum melepaskan sepakan kencang yang gagal diselamatkan dengan kemas oleh Murugan lantas membolehkan Cottee menolak masuk bola muntah tersebut.
Gol penyamaan tersebut ternyata meragut semangat pemain dan penyokong tuan rumah tatkala Selangor semakin ghairah menambah jaringan.
Minit ke-70, Chandran membuat hantaran lintang yang disambut kemas Cottee yang pantas melorongkan bola ke arah gol. Bola sedikit membias seorang pemain pertahanan Negeri Sembilan namun sudah cukup untuk mengelirukan Murugan untuk Selangor mendahului buat pertama kali dalam perlawanan ini.
Lima minit sebelum tamat, kegagalan Murugan untuk sekali lagi menangkap kemas sepakan kencang Cottee membolehkan Mandla mudah menolak masuk di saat pemain Negeri Sembilan yang lain hanya mampu memerhati sekaligus memastikan kemaraan Selangor ke peringkat separuh akhir.
NEGERI SEMBILAN: Othman Katmon (V Murugan), Syamsul Akmar Japperi, Khairil Zainal, B Rajinikandh, A Ganeson, Zami Mohamed Nor, Ching Hong Aik, M Balan, Julio Ceballos (Idris Kadir), Azmi Mohamed, Jose Iriarte (Faizal Zainal)
A Ganeson 18, Jose Iriarte 41
SELANGOR: Azlisham Ibrahim, Assroff Hanafiah, Zainal Abidin Hassan, Ismail Ibrahim, Talib Sulaiman, Shahril Arsat, M Chandran, Christopher Mandla, K Sanbagamaran, Tony Cottee, Azman Adnan (Rusdi Suparman)
Azman Adnan 44, Tony Cottee 49, 70; Christopher Mandla 85