Ketinggalan 2-4 pada separuh masa pertama, Selangor bangkit dengan persembahan mengagumkan di separuh masa kedua untuk menewaskan Negeri Sembilan 6-4 dalam perlawanan Liga Perdana penuh dramatik malam tadi.
Beraksi di gelanggang keramat mereka Stadium Merdeka buat kali terakhir sebelum berpindah ke Stadium Shah Alam minggu hadapan, Selangor memastikan malam ini bakal diingati oleh ribuan penyokong Merah Kuning.
Kemenangan ini turut melunaskan dendam Selangor terhadap Negeri Sembilan yang menewaskan mereka 1-0 dalam perlawanan penuh kontroversi di Stadium Paroi, Mei lalu.
Pesta gol yang tidak dijangka bermula seawal minit ke-2 dan berterusan sepanjang aksi babak pertama itu bagaimanapun tidak memihak kepada Selangor sebaliknya Negeri Sembilan seakan mengganas.
Pemain import pasukan pelawat, Robert Bozik memulakan langkah apabila hantaran lintangnya dari sebelah kanan melencong ke arah gol dan gagal dibaca oleh penjaga gol muda Selangor, Azlisham Ibrahim lantas menerjah jaring ketika ramai penonton masih berjalan masuk mencari tempat duduk di dalam stadium.
Bagaimanapun, gol tersebut langsung tidak menyentap barisan tuan rumah apabila pada minit ke-11 pertahanan dari Bulgaria, Dimitre Kalkanov menanduk masuk gol penyamaan hasil sepakan sudut Zsolt Bucs.
Negeri Sembilan sekali lagi di hadapan apabila lontaran masuk Moey Kok Hong pada minit ke-15 menemui Hisham Ghani yang menanduk kepada Khairil Zainal yang mudah menolak masuk untuk kedudukan 2-1.
Tanpa kehadiran tiga tonggak utama Azman Adnan, Malek Rahman dan Alistair Edwards, Selangor semakin tertekan apabila terus ketinggalan pada minit ke-25.
Kali ini Bozik menambah gol peribadi kedua beliau apabila hantaran asalnya membuka ruang untuk P Nanthagobalan mencipta jaringan, namun Nantha teragak-agak lantas Bozik sendiri menyudahkan peluang tercipta untuk pelawat kian selesa.
Ketinggalan tiga gol belumpun suku perlawanan berlangsung memaksa Selangor membuat pertukaran apabila mengeluarkan Azlisham yang jelas gugup dan memasukkan penjaga gol veteran Hassan Miskam.
Seminit sebelum rehat, Selangor merapatkan jurang apabila pemain tengah Yeo Swee Hock dan K Sanbagamaran bergandingan untuk mencipta peluang buat Anuar Abu Bakar yang merembat masuk menewaskan penjaga gol lawan Khairuddin Idris.
Namun gembira Selangor hanya seketika apabila Negeri Sembilan kembali memastikan jurang dua gol kekal apabila sepakan sudut Bozik ditanduk masuk Khairil untuk menjadikan kedudukan 4-2 sebelum pengadil menamatkan aksi babak pertama.
Selangor memulakan aksi babak kedua dengan penuh garang di saat Negeri Sembilan jelas bertekad untuk mempertahankan kedudukan.
Serangan demi serangan bertali arus dilancarkan namun tuan rumah terpaksa menunggu sehingga minit ke-57 apabila sepakan derasnya menewaskan Khairuddin untuk kedudukan 4-3.
Gol pembakar semangat itu jelas meruntuhkan semangat lawan apabila seminit selepas itu giliran pemain gantian Paul Raj yang masuk menggantikan Swee Hock menyamakan kedudukan dengan sepakan kaki kiri.
Di saat ini, penyokong Merah Kuning tambah ghairah memberi sorakan menyedari kebangkitan tidak dijangka pasukan kesayangan mereka.
Minit ke-62 Sanbagamaran membolehkan Selangor mendahului buat pertama kali dalam perlawanan ini apabila menyudahkan hantaran Assroff Hanafiah untuk kedudukan 5-4.
Enam minit kemudian Sanbagamaran sekali lagi menjadi wira Selangor apabila sepakan lencong kaki kirinya menewaskan Khairuddin untuk Selangor selesa di hadapan 6-4.
Melepaskan enam gol, giliran pasukan pelawat membuat pertukaran penjaga gol apabila memasukkan Hamsani Ahmad bagi menggantikan Khairuddin.
Anehnya bagi perlawanan yang menghasilkan 10 gol dalam 68 minit pertama, aksi 22 minit terakhir tidak menyaksikan sebarang gol tambahan bagi kedua-dua pasukan namun keputusan ini sudah cukup membuatkan penyokong tuan rumah tersenyum gembira.
SELANGOR: Azlisham Ibrahim (Hassan Miskam), Ismail Ibrahim, Reman Regunathan, Dimitre Kalkanov, A. Jayakanthan, Assroff Hanafiah, Zsolt Bucs, Yeo Swee Hock (Paul Raj), Anuar Abu Bakar, K. Sanbagamaran, Rusdi Suparman
Dimitre Kalkanov 11, Anuar Abu Bakar 44, Zsolt Bucs 57, Pual Raj 58, K. Sanbagamaran 62, 67
Dimitre Kalkanov, Paul Raj
NEGERI SEMBILAN: Khairuddin Idris (Hamsani Ahmad), Shaari Said, K. Gunalan, Aminuddin Samah, Faizal Zainal, Pedro Ricoy, Moey Kok Hong, Robert Bozik, Hisham Ghani (See Kim Seng), P Nantha Gobalan (Wong Kah Loon), Khairil Zainal.
Robert Bozik 2, 25; Khairil Zainal 15, 45
Shaari Said, Hisham Ghani, Faizal Zainal