Kehadiran bekas kapten Kuala Lumpur Azidan Sarudin untuk menyarung jersi Selangor musim ini meneruskan tradisi pemain-pemain berbakat skuad Sang Helang itu yang berhijrah merentasi Lembah Kelang menyertai musuh setempat yang lebih popular. SELANGORFC.COM mengimbas kembali tujuh pemain terulung Kuala Lumpur yang dipancing menyertai skuad The Red Giants sejak aksi Liga Semi Pro bermula pada 1989
Azman Adnan (1993-1998, 2002, 2004) - Penyerang ini mula mencipta nama bersama skuad Olimpik Barcelona negara di bawah kendalian Chow Kwai Lam, namun kejayaannya menjaringkan 22 gol untuk Kuala Lumpur dalam saingan musim 1991 ketika hanya berusia 21 tahun menarik minat Selangor, Pahang dan Kedah untuk mendapatkan khidmat beliau.
Kuala Lumpur dalam usaha mereka untuk memastikan ayam tambatan mereka tidak terlepas tidak teragak-agak untuk meletakkan harga RM1 juta kepada mana-mana pasukan yang ingin mendapatkan khidmat Azman. Namun hasil perbincangan lanjut, Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Tan Sri Elyas Omar bersetuju melepaskan Azman dengan yuran perpindahan dalam lingkungan RM250,000 - RM300,000, satu jumlah yang kekal tertinggi di kalangan pemain tempatan sehingga ke hari ini.
Zaid Jamil (1993-1994) - Aksi kental Zaid di bahagian pertahanan ketika mewakili Kuala Lumpur membolehkan beliau dipanggil menyertai skuad kebangsaan untuk beraksi dalam Pestabola Merdeka 1991. Dalam tahun yang sama Zaid membantu DBKL menjuarai Piala FAM. Beliau berada di dalam skuad kebangsaan yang menjuarai Piala Kemerdekaan Jakarta 1991 dan Pestabola Medeka 1993.
Seorang pemain pertahanan yang rajin, bekas pelajar Sekolah Tinggi Kajang ini turut sekali-sekala berjaya menjaringkan gol. Pada tahun 1992, beliau menjaringkan gol kemenangan Kuala Lumpur ketika menewaskan Selangor tanpa mengetahui bekiau akan menyarung jersi Merah Kuning di tahun berikutnya.
Anak kelahiran Melaka ini mengikuti rakan baiknya Azman Adnan berhijrah ke Selangor pada 1993 seterusnya membantu Selangor menjuarai Liga Divisyen 2 pada tahun tersebut.
Aksi konsisten beliau menyebabkan beliau terus dipanggil menyertai skuad kebangsaan namun mencipta kontorversi apabila menarik diri dari persiapan skuad negara ke Sukan Sea Singapura dengan alasan peribadi. Tindakan ini mengundang kemarahan FAM yang melarang beliau dari beraksi untuk Selangor sepanjang tempoh Sukan Sea.
Namun tatkala di puncak kerjaya, Zaid kembali ke rahmatullah apabila beliau terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawanya pada 16 Jun 1994 pada usia 27 tahun.
V.Murugan (1995) - Dengan penjaga gol utama musim sebelumnya Hassan Miskam terlibat dalam skandal rasuah, Selangor memerlukan penjaga gol baru bagi musim 1995. Penjaga gol Kuala Lumpur V Murugan turut terlibat dalam sisatan, namun beliau menghadiri sesi pemilihan pemain Selangor untuk musim baru dan menunjukkan aksi cemerlang untuk memikat panel pemilih. Selangor cemas seketika sementara menunggu sehingga Murugan disenaraiputihkan oleh pihak polis. Walaupun menunjukkan permainan yang baik namun kemunculan penjaga gol muda berbakat Azlisham Ib Berahim memendekkan karier Murugan di Selangor.
Shahrin Majid (2003) - ...
S. Paidiya Rao (1999) - ...
Nizaruddin Yusop (2001-2003)Kariernya di Selangor bermula penuh kontroversi apabila menerima penggantungan 4 bulan dari Persatuan Bolasepak Malaysia FAM berikutan aduan Kuala Lumpur bahawa beliau tidak menghadiri latihan bermula dari pertengahan bulan Disember 2000. Walaupun umum mengetahui beliau sememangnya telah membuat keputusan meninggalkan skuad Warga Kota itu dan menyertai Selangor, PBKL mendakwa kontraknya hanya berakhir pada 31 Disember, dan beliau perlu menjalani latihan sehingga tamat kontrak.
Gandingan Nizaruddin bersama Yusri Che Lah membantu Selangor memenangi Piala FA pada tahun tersebut sebelum menjulang Piala Malaysia pada tahun berikutnya. Malangnya selepas penghijrahan beramai-ramai pemain berstatus bintang meninggalkan Selangor pada tahun 2003 memaksa Nizaruddin berseorangan menggalas cabaran skuad Merah Kuning itu namun masalah ketandusan gol dan kecederaan ramai pemain akhirnya memaksa Selangor beraksi di Liga Premier untuk musim 2004.
Mohd Shawal Johadi (2001) - Mula mewakili Kuala Lumpur dalam pelbagai pertandingan peringkat umur sejak muda, bekas pelajar SMK La Salle Brickfields ini boleh bermain di pelbagai posisi seterusnya menarik minat jurulatih skuad Olimpik 2000 negara Hatem Soussi pada tahun 1998. Di permulaan tahun 1999, masalah kecederaan memaksa jurulatih Kuala Lumpur ketika itu Mat Zan Mat Aris menyerapkan Shawal ke dalam skaud utama.
Sejak itu beliau tidak lagi menoleh ke belakang sehingga menarik perhatian Selangor untuk mendapatkan khidmatnya bersama-sama Nizaruddin pada permulaan musim 2000. Namun, dibelenggu masalah kecederaan di samping terpaksa bersaing dengan begitu ramai pemain kebangsaan di posisi tengah dalam skuad Selangor membuatkan Shawal tenggelam namun beliau tetap berjaya mencipta kenangan manis bersama skuad Merah Kuning. Masuk sebagai pemain gantian menggantikan Rusdi Suparman dalam perlawanan akhir Piala FA 2001 menentang Sarawak, hantaran lintang cantiknya membolehkan D Surendran menjaringkan 'gol emas' pada minit ke 109 masa tambahan sudden-death seterusnya membolehkan Selangor menjulang Piala FA buat kali ketiga. Shawal kemudiannya berhijrah ke Kedah, Terengganu dan TNB Kelantan