Anak kelahiran Singapura, Razali Alias memulakan karier bersama skuad Piala Malaysia republik itu sejak tahun 1977 sehingga 1981 sebelum menyertai Selangor.
Razali pernah mendapat pujian tinggi dari jurulatih Singapura berbangsa Inggeris, Trevor Hartley yang menganggapnya sebagai pemain yang lebih berbakat daripada Fandi Ahmad ketika masih mewakili republik itu berikutan corak permainan serta kelincahannya ketika mengemudi jentera tengah.
Namun ianya tidak menjadikan Razali besar kepala kerana ternyata watak peribadinya di luar padang jauh berbeza dengan sikap dominannya di atas padang. Selepas berhijrah ke Lembah Kelang, Razali dianggap antara tonggak kekuatan Selangor pada era 80-an, namun beliau lebih gemar mengelakkan tumpuan dari peminat mahupun media sebaik sahaja tamat sesi latihan atau perlawanan.
Ternyata sikap mengelakkan publisiti Razali mudah dilakukan di dalam skuad bintang Selangor yang dibarisi pemain seperti Mokhtar Dahari, Santokh Singh, adik-beradik Norbit, R Arumugam dan Khan Hung Meng.
Walaupun Razali memenangi Piala Malaysia 1984, namun perlawanan akhir Piala Malaysia 1986 pastinya perlawanan yang lebih diingati oleh Razali sendiri mahupun peminat Selangor. Pada perlawanan akhir yang mempertemukan Selangor dan gergasi selatan Johor, skuad Merah Kuning pada mulanya ketinggalan 0-1 hasil jaringan Dollah Salleh. Namun, siapa lagi kalau bukan Razali bangkit menjaringkan gol penyamaan yang seterusnya menjadi titik tolak kebangkitan Selangor sehingga menewaskan lawan 6-1 untuk menjulang kejuaraan.
Jaringan itu dirasakan cukup istimewa buat Razali, tambahan pula ia dihasilkan menerusi sepakan volley dari luar kotak penalti. Berpunca daripada sepakan percuma Zulkifli Ahmad yang ditumbuk keluar oleh penjaga gol Johor, Salleh Mohd Nor, bola singgah di kaki Razali yang merembat deras menggegar jaring.
Sepanjang karier 11 tahunnya bersama Selangor dari 1982 hingga 1992, Razali berpeluang mengecapi semua kejuaraan yang dipertandingkan dan begitu terhutang budi dengan skuad Merah Kuning yang disifatkannya banyak membantunya dalam kerjaya bola sepak.
Ketika bersama Selangor, Razali berpeluang menjulang Piala Malaysia (1984 dan 1986), Piala Liga (1989 dan 1990), Piala FA pada 1991 dan Piala Sumbangsih (1983, 1985 dan 1987). Malah beliau sempat menjadi ketua pasukan Selangor ketika awal era Liga Semi Pro namun masalah kecederaan yang dialami beliau menyebabkan lilitan ketua pasukan turut digalas Zainal Nordin dan Ismail Ibrahim.
Tidak ramai yang mengetahui bahawa Razali turut menyimpan kenangan pahit kerana hasratnya mewakili Malaysia tidak tercapai.
Tambah pilu ialah dia pada awalnya disenaraikan dalam skuad pemilihan akhir untuk ke Kejohanan Pra-Piala Dunia pada 1985 tetapi akhirnya terpaksa diketepikan kerana masalah kewarganegaraan kerana mengikut peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), seseorang pemain yang pernah mewakili sesebuah negara di peringkat antarabangsa tidak dibenarkan mewakili negara lain dan Razali terpaksa menelan kepahitan kerana pernah mewakili Singapura untuk Pra Piala Dunia.
Namun, semua itu tidak melemahkan semangatnya untuk terus berjuang bersama Selangor yang menjadi pasukan tunggalnya hingga mengumumkan persaraan pada 1992.
Sebagai menunjukkan penghargaan kepada pasukan yang banyak membantunya mencipta kegemilangan, Razali memulakan karier kejurulatihannya dengan menabur bakti sebagai penolong jurulatih Akademi Bola Sepak Selangor sebaik persaraannya bagi melatih bakat muda untuk diserapkan ke dalam skuad senior.
Usaha bersungguh-sungguh serta dedikasi yang ditunjukkan Razali membolehkannya dilantik sebagai pengarah akademi terbabit sebelum dilantik sebagai penolong jurulatih kepada Dollah Salleh pada tahun 2005. Membantu Selangor mencipta sejarah memenangi treble pada tahun tersebut, Razali kekal bersama Selangor untuk setahun lagi sebelum memulakan karier sebagai ketua jurulatih untuk skuad Proton FC dan Angkatan Tentera Malaysia.