Kerusi panas Pengurus Pasukan Selangor kini sudah ada pemiliknya.
Sejak FAS tidak memperbaharui kontrak pengurus sepenuh masa pertama mereka Zakaria Ab Rahim, telah dua tahun lamanya jawatan ini disandang oleh ketua jurulatih K. Devan. Ternyata tugasan dua dalam satu ini dilihat tidak mampu dipikul Devan sejak gagal menjuarai Piala FA dan Liga Super tahun ini, sekaligus memaksa Datuk Hamidin Mohd Amin memangku jawatan tersebut semasa kempen Piala Malaysia yang lalu. Namun umum mengetahui, dengan jawatannya sebagai Setiausaha Agung FAS di samping portfolio di dalam FAM dan AFC, Hamidin tidak mungkin menggalas tugas itu secara tetap.
Individu yang akhirnya dipilih adalah Datuk Abdul Mokhtar Ahmad. Mokhtar bukanlah nama asing dalam bolasepak Selangor. Selain daripada Timbalan Presiden FAS, beliau pernah memegang jawatan pengurus dari 1998 sehingga 2003 sebelum diambil-alih oleh Datuk Satim Diman.
Namun, tidak seperti ketika beliau pertama kali dipilih menjadi pengurus pasukan pada 1998 di mana pengumuman perlantikan beliau dilakukan sendiri oleh Presiden FAS, Datuk Mohd Aini bin Taib, pemilihannya kali ini tidak disertai sebarang pengumuman, kenyataan rasmi mahupun sidang akhbar.
Ironi juga, mesyuarat FAS pada 4 Januari 1998 yang membuat keputusan di atas perlantikan Mokhtar itu turut memutuskan perlantikan Hamidin ke jawatan Setiausaha Agung dan S Sivasundram (kini Datuk) ke jawatan Naib Bendahari sekaligus memulakan era kerjasama tiga individu ini ke arah organisasi FAS hari ini.
Kejayaan awal Mokhtar sebagai pengurus antaranya berjaya memujuk bintang Selangor, Azman Adnan untuk menandatangani kontrak lanjutan walaupun pada dasarnya Azman telah bersetuju untuk menyertai Negeri Sembilan di samping membawa masuk perancang tengah Liberia Alexander Freeman dari Perlis.
Anak kelahiran Kampung Baru ini sememangnya tidak sunyi dari kontroversi dek kelantangan suara dan keberaniannya mengeluarkan pendapat. Memegang jawatan Naib Presiden FAS ketika 1998, beliau dan Zaini Idris (Allahyarham) mengetuai sebilangan besar ahli Majlis FAS mendesak Aini untuk bertanggungjawab di atas krisis hutang FAS yang meningkat ketika itu. Apabila Aini akhirnya meletak jawatan menjelang Mesyuarat Agung Tergempar FAS pada pertengahan tahun tersebut, Mokhtar dilantik ke jawatan Timbalan Presiden, jawatan yang dipegangnya sehingga kini.
Dengan pengalaman luasnya sebagai ahli perniagaan, beliau bertanggungjawab mengurangkan hutang sebanyak RM3.7 juta yang ditanggung FAS sejak 1997 kepada hanya RM10,000 menjelang akhir 2000. Bagaimanapun kejayaan beliau di belakang tabir tidak disertai kejayaan awal di atas padang.
Krisis ekonomi global 1998 memaksa Selangor untuk berpisah dengan jurulatih Steve Wicks, manakala keputusan di atas padang semakin memburuk sehingga timbul tanggapan ada pemain-pemain pro-Aini yang tidak menunjukkan kesungguhan sebenar di atas padang sebagai tanda protes. Selangor kemudiannya gagal layak ke saingan Piala Malaysia selepas tewas perlawanan play-off kepada Perak sekaligus memaksa mereka turut beraksi di Premier Dua.
Di kalangan penyokong Merah Kuning pula, kegagalan Selangor setelah merasai tahun-tahun gemilang ketika Aini menjadi pengurus menimbulkan kemarahan yang dihalakan buat FAS khususnya Mokhtar. Para penyokong di belakang Kempen Sokong Aini yang dikatakan berjaya mendapat 15,000 tandatangan bertekad memboikot perlawanan melibatkan Selangor sehingga Aini dikembalikan semula ke jawatannya namun Mokhtar beruntung kerana kelab penyokong rasmi SSFC dan ahli Majlis FAS yang lain teguh di belakang beliau.
Kegagalan jurulatih berbangsa Inggeris Mike Pejic mengemudi Selangor untuk menguasai Premier Dua di tahun berikutnya bagaimanapun menyebabkan kian ramai penyokong hilang sabar sebelum Pejic diganti penolong jurulatih K Rajagopal yang memastikan Selangor kembali ke Premier Satu walaupun hanya selaku naib juara.
Rajagopal dilantik menjadi ketua jurulatih bagi musim 2000, dan Mokhtar memperkuatkan pasukan dengan mendapatkan khidmat antaranya penjaga gol berbakat Azmin Azram Abdul Aziz dan ketua pasukan Perlis, Yusri Che Lah. Rajagopal membalas kepercayaan yang diberi dengan menghadiahkan Mokhtar piala pertamanya apabila Selangor menjuarai Piala Liga. Namun Piala Malaysia yang terlepas dari tangan mengakibatkan Rajagopal kehilangan kerja.
Jurulatih seterusnya Abdul Rahman Ibrahim berjaya mendapatkan Piala FA pada 2001 sebelum jurulatih 'bidan terjun' Ken Worden melengkapkan koleksi kejuaraan buat Mokhtar dengan Piala Malaysia 2002. Bagaimanapun kegagalan Selangor mengekalkan sebahagian besar wira-wira 2002 mereka membuatkan skuad Merah Kuning itu terjerumus ke Liga Premier pada tahun berikutnya lantas Mokhtar memberi laluan buat Satim menjawat jawatan pengurus untuk musim 2004.
Walaupun hanya di belakang tabir sepanjang tujuh tahun yang lalu, Mokhtar memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Negeri di dalam FAS sekaligus berkuasa menentukan pemain keluar-masuk dan perlantikan pegawai serta jurulatih skuad Liga Super.
Kini, setelah kembali ke arus perdana, penyokong-penyokong Selangor di luar sana pastinya berharap sentuhan dan pengalaman beliau dapat memastikan kemarau piala 2011 tidak berulang.