'JODOH' pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim bersama Gergasi Merah sememangnya masih tersulam erat.
Semalam, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menyangkal desas-desus betapa kontrak pengendali kelahiran Perak itu akan ditamatkan serta-merta ekoran prestasi hambar pasukan itu selepas tujuh perlawanan Liga Super setakat ini.
Meskipun mengakui prestasi Merah Kuning dilihat agak 'lambat panas' musim ini, ia bukan bermakna 'jodoh' Irfan bersama Selangor ternoktah sudah.
“FAS masih memerlukan khidmat Irfan, kontraknya tidak akan ditamatkan sewenang-wenangnya hanya semata-mata kerana persembahan hambar Selangor setakat ini.
"Saya percaya, 'magis' yang dimiliki Irfan akan hadir sedikit masa lagi, justeru saya harap kesemua peminat Selangor dapat bersabar dan sentiasa percaya dengan kemampuannya," katanya kepada Kosmo! semalam.
Sebelum ini, timbul desas-desus negatif di kalangan segelintir peminat fanatik Merah Kuning yang mula meragui kebolehan Irfan apabila sekadar mengutip sembilan mata hasil dua kemenangan, tiga seri serta dua tewas termasuk terbaharu kepada Selangor PKNS kelmarin.
Irfan yang merupakan bekas pengendali Terengganu mengambil keputusan berhijrah ke Selangor musim ini selepas membantu Sang Penyu menjulang Piala FA serta naib juara Piala Malaysia dan Liga Super 2011.
Beliau mengambil alih 'baton' daripada pembantu jurulatih Selangor, P. Maniam yang sebelum itu meneruskan sisa perjuangan Gergasi Merah setelah K. Devan 'melangkah pergi' ketika 'Misi 33' Gergasi Merah dalam aksi Piala Malaysia musim lepas masih belum berakhir.
Hamidin berkata, beliau sentiasa berdoa supaya pemain Selangor kembali bangkit membuktikan kemampuan sebelum segala-galanya terlewat, dan ia harus dimulakan segera ketika menentang peneraju liga, Kelantan malam esok.
Ketika mengulas perkembangan berkaitan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) yang mengekang pemain importnya, Bosko Balaban menyarung jersi Selangor, Hamidin menjelaskan ia masih dalam proses.