IMPIAN pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim untuk membentuk jentera serangan yang digeruni lawan dalam kancah Liga Malaysia musim ini sedia direalisasikan barisan pemain Merah Kuning walaupun sekadar mencatatkan keputusan seri dalam aksi pembukaan Liga Super pada Selasa lalu.
Malah penjaring gol pertama Selangor musim ini, Amirulhadi Zainal berjanji untuk meningkatkan lagi prestasi sekali gus menjadi tonggak penting kebangkitan mereka pada musim ini dalam memburu satu piala yang menjadi idaman Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).
Menurut pemain berusia 25 tahun itu, dia masih mampu memberikan persembahan yang lebih baik dan perlu segera tingkatkan prestasi sekiranya mahu kekal dalam kesebelasan utama kerana Selangor mempunyai pemain tengah yang ramai untuk diturunkan.
Sesuatu yang boleh membimbangkan barisan pemain tengah Selangor adalah pujian Irfan Bakti kepada pemain gantian, Solihin Kanasian yang berjaya mendapatkan sepakan penalti untuk memberikan gol kedua Selangor sekali gus memberi amaran kepada barisan pemain tengah yang lain agar sentiasa berwaspada.
Selangor bakal meneruskan perlawanan kedua Liga Super dengan menanti kunjungan Perak di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam esok.
Sementara itu, tiket bagi perlawanan terbabit berharga RM15 bagi dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak yang akan mula dijual pada hari perlawanan di pintu Kuning bermula jam 5.30 petang manakala penjualan tiket bagi penyokong Perak adalah di pintu Hijau.