"Saya tak menyesal sama sekali. Saya akan kerja lebih kuat lagi bersama pemain dan mereka pun bertekad bangkit semula bertemu Kelantan (esok). Saya tetap bangga jadi jurulatih Selangor."
Demikian tegas pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim selepas reputasi cemerlangnya membawa Terengganu muncul juara Piala FA, naib juara Liga Super dan Piala Malaysia, musim lalu seakan tercalar apabila Selangor kini hanya menang dua, seri tiga dan tewas dua kali.
Ditanya adakah prestasi hambar Selangor berpunca daripada sikap pemainnya, Irfan berkata: "Bukan begitu. Pertamanya kami sukar untuk menjaringkan gol dan kedua, ada sedikit lemah semangat apabila lawan mendahului. Mereka patut bangkit."
Di sebalik kehambaran itu, pemain Selangor sebenarnya mampu beraksi baik pada perlawanan tertentu seperti ketika mereka mengikat Negeri Sembilan 2-2 serta menewaskan Perak 1-0 dan T-Team 2-1.
"Bertemu Kelantan (esok), saya dah beritahu pemain, jangan kalah lagi. Jangan kalah di tempat sendiri. Insyaallah jika masalah ITC selesai, kami boleh turunkan Bosko Balaban (penyerang import dari Croatia)," jelas Irfan.