SENTUHAN penyudah jentera serangan Selangor sudah menemui jalan penyelesaian dengan kehadiran bekas penyerang kebangsaan Croatia, Bosko Balaban.
Malah Merah Kuning kendalian Irfan Bakti Abu Salim melakukannya dengan bergaya apabila memecahkan rekod tanpa kalah tujuh perlawanan pendahulu Liga Super, Kelantan menerusi jaringan Safiq Rahim dan Balaban pada babak kedua permainan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam kelmarin.
“Saya sebenarnya tidak menyasarkan untuk melakukan ia (jaring gol) kerana sudah lama tidak beraksi dalam aksi kompetitif. Apa yang penting adalah pasukan mendapat tiga mata selepas gagal sebelum ini (tewas kepada PKNS FC),” kata Balaban ketika ditemui selepas penampilan pertamanya bersama Selangor selepas masalah Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) berjaya diselesaikan.
Jaringan pertama Selangor diperoleh seawal minit pertama babak kedua menerusi rembatan kencang Safiq menewaskan Khairul Fahmi Che Mat di gawang.
Selepas menggegar gawang Khairul Fahmi, Balaban dihidangkan beberapa peluang sepanjang perlawanan dan tidak menunggu lama untuk menambat hati penyokong Selangor apabila bijak melakukan larian melepasi perangkap ofsaid menyudahkan umpanan Safiq pada minit ke-74 sebelum pemain pertahanan Kelantan, S Subramaniam merapatkan jurang pada masa kecederaan untuk keputusan akhir 2-1.
Sementara itu, Irfan Bakti berkata kehadiran Balaban sudah menyelesaikan masalah yang membelenggu Selangor pada tujuh perlawanan Liga Super sebelum ini.