Nampak gayanya, Selangor benar-benar berhajat mahu merangkul sekurang-kurangnya satu piala pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim hadapan.
Kesungguhan skuad Gergasi Merah itu dilihat cukup terserlah apabila berjaya melakar enam kemenangan bagi aksi pra-musim setakat ini termasuk membelasah Universiti Teknologi Mara (UiTM FC) 7-0 di Shah Alam malam kelmarin.
Meskipun mengakui gembira dengan corak persembahan anak-anak buahnya setakat ini, Irfan Bakti tidak mahu mereka hanyut dibuai mimpi indah dan mengekalkan fokus menjelang aksi sebenar tirai Liga Super menentang Negeri Sembilan di tempat lawan pada 10 Januari depan.
“Bagi saya, ia hanyalah satu perlawanan biasa semata-mata. Menang sehingga berpuluh-puluh gol semasa aksi pra-musim pun tidak ada gunanya jika terkulai dalam aksi Liga Super nanti.
“Jika keputusan pra-musim ini berjaya diterjemah dalam aksi sebenar nanti, barulah saya boleh melonjak kegembiraan,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Dalam perlawanan menentang UiTM FC kelmarin, Amirulhadi Zainal, Azidan Sarudin dan kapten, Amri Yahyah masing-masing mencetak dua gol buat Gergasi Merah, sementara R. Surendran meledak satu gol.
Sebelum itu, Selangor berjaya mencatat lima kemenangan dengan membenam Sime Darby 2-0, MP Muar 5-0, Polis 3-0, MP Muar 2-1 dan Johor 4-1, tetapi tewas 0-2 kepada Johor FC, Jumaat lalu.
Mereka akan berdepan cabaran Pahang esok sebelum melayan kunjungan Pos Malaysia pada 3 Januari depan.
“Saya juga gembira dengan persembahan jentera serangan dan bahagian tengah, cuma saya agak pening sedikit bagi memilih antara Asraruddin (Putra Omar) atau Nasriq (Baharom) untuk bergandingan dengan pemain import, Ramez Dayoub di posisi bek tengah kerana kedua-duanya bagus,” kata Irfan.
Selain perlawanan menentang Negeri Sembilan bagi aksi Liga Super, Gergasi Merah juga dijangka tidak berdepan masalah membenam cabaran pasukan berstatus kelab, Shahzan Muda bagi aksi Piala FA pada 18 Februari depan.