PENYERANG berpengalaman Selangor, Mohd Amri Yahyah sedia menyahut cabaran jurulatih untuk menggalas tugas sebagai penyerang utama pasukan sekiranya penyerang import dari Congo, Lelo Mbele tidak dapat diturunkan pada aksi awal Liga Super 2012.
Kapten berusia 30 tahun itu tidak mahu masalah ketumpulan jentera serangan dan episod duka Red Giants yang gagal meraih sebarang trofi musim 2011 kembali berulang.
"Ia bukan sesuatu yang sukar kerana kebanyakan pemain yang ada sekarang adalah pemain sama pada musim ini dan kami saling mengenali corak masing-masing. Mungkin ini satu kelebihan kepada Selangor berbanding pasukan lain," katanya ketika dihubungi semalam.
Walaupun turut mengakui kehadiran pemain import boleh membantu jentera depan merobek gawang lawan, namun dia tidak mahu menjadikan ketiadaan Mbele sebagai alasan kepadanya untuk tidak melakukan yang terbaik kepada Selangor.
"Dia (Mbele) kini dipantau oleh pasukan fisioterapi pasukan. Memang kehadiran pemain import boleh membantu pasukan mencatatkan keputusan lebih baik tapi saya tidak mahu menjadikan ia sebagai alasan.
"Saya tahu Mbele seorang pemain yang bagus dan mampu untuk membantu pemain tempatan menjaringkan gol untuk memenangi kejuaraan. Setakat ini dia memang tidak dapat diturunkan tapi kami semua akan terus menunggu penampilan dia dalam pasukan," katanya.