| Selangor turun tanpa supersub | |
|
|
GERGASI 'terluka', Selangor bakal turun melayan kunjungan Johor di Stadium Shah Alam malam ini tanpa kelibat supersub berbahaya, R. Surendren dalam usaha memadam kekalahan memalukan 0-4 kepada Terengganu, Sabtu lalu. Surendren, 28, yang kini berkongsi pendahulu senarai penjaring terbanyak Liga Super bersama penyerang Terengganu, Ashaari Samsudin dengan lima gol tidak dapat beraksi malam ini akibat kecederaan otot pada bahagian betis. Menurut pemain berasal dari Perak itu, dia sememangnya berasa cukup terkilan kerana gagal membantu Selangor pada aksi Sabtu lalu dan juga perlawanan menentang Johor malam ini. "Selepas ketinggalan 0-2, jurulatih, K. Devan menyuruh saya memanaskan badan dan memberitahu saya akan dimasukkan sebaik separuh masa kedua bermula. Tetapi saya hanya dimasukkan pada minit ke-66. "Malangnya selepas hanya lima minit beraksi, ketika berlari untuk memintas pertahanan Terengganu tiba-tiba kaki saya rasa tertarik dan terus gagal meneruskan perlawanan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam. Surendren berkata, dia terpaksa berehat selama seminggu tetapi berharap kecederaan itu pulih segera supaya dia dapat kembali beraksi apabila Selangor bertemu Perlis di Kangar, Sabtu ini. "Walaupun kecewa tak dapat membantu pasukan untuk perlawanan esok (malam ini), saya berharap rakan-rakan lain dapat melaksanakan tugas mereka dan Selangor berjaya mengutip tiga mata penuh. "Semua pemain telah bertekad untuk bangkit semula daripada kekalahan memalukan kepada Terengganu itu dan kami akan cuba memperbaiki segala kelemahan yang ada," jelasnya. Selain Surendren, jentera Selangor musim ini diperkuatkan oleh Safee Sali, Amri Yahyah, Rudie Ramli, Liew Kit Kong, Farderin Kadir, Safiq Rahim dan Azrine Efendy Saduddin. Jurulatih Selangor, K. Devan dijangka akan merehatkan beberapa pemain utama pada perlawanan malam ini selepas mereka kelihatan lesu dan letih setelah mengharungi lima perlawanan dalam tempoh 15 hari sejak 9 Januari lalu. |