JUARA bertahan, Selangor memperoleh bekalan mencukupi apabila mudah menewaskan 'adik' mereka, PKNS 2-0 pada aksi pertama pusingan kedua Piala FA di Stadium Shah Alam malam tadi.
Selangor yang beraksi di hadapan kira-kira 3,000 penyokong setia jelas menguasai keseluruhan aksi separuh masa pertama sambil PKNS gagal menghadirkan sebarang ancaman berbahaya buat penjaga gol Selangor, Hamsani Ahmad.
Tuan rumah dua kali memperoleh peluang terbaik tetapi tandukan Amirulhadi Zainal pada minit ke-25 terkena palang gol PKNS manakala percubaan Safiq Rahim 10 minit kemudian sedikit tersasar.
Gol pertama Selangor menjelma pada minit ke-43 menerusi rembatan kencang kaki kiri Farderin Kadir dari dalam kotak penalti yang gagal diselamatkan penjaga gol PKNS, Saiful Amar Sudar.
Pada babak kedua, Selangor terus mengasak kubu PKNS bagi mencari bekalan selesa untuk dibawa ke perlawanan kedua di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Sabtu ini.
R. Surendren sekali lagi membuktikan ketajamannya selaku supersub apabila berjaya menanduk masuk gol kedua Selangor pada minit ke-87 hasil hantaran lintang Safiq dari sebelah kanan.