SELANGOR tidak sesekali akan mengamalkan corak permainan bertahan pada aksi kedua pusingan kedua Piala FA bertemu PKNS di Stadium MBPK, Kelana Jaya Sabtu ini, lapor WAN FAKHRUL BAKAR.
Sebaliknya, pengurus merangkap jurulatih Selangor, K. Devan tetap mahu anak-anak buahnya bermain seperti biasa dan memburu kemenangan pada perlawanan tersebut bagi mengekalkan rentak permainan mereka.
"Kita akan ke Kelana Jaya Sabtu ini dengan sasaran mahu menang. Kita mahu kekalkan rentak menjelang aksi sulung Piala AFC menentang Binh Duong FC (Selasa depan) dan aksi Liga Super bertemu Pulau Pinang (27 Februari)," kata Devan.
Pengendali berusia 49 tahun itu ditemui selepas perlawanan pertama di Stadium Shah Alam malam kelmarin yang menyaksikan Selangor mudah menewaskan PKNS 2-0 menerusi jaringan Farderin Kadir pada minit ke-43 dan penyerang gantian, R. Surendren tiga minit sebelum tamat perlawanan.
Mengulas aksi para pemain Selangor pada perlawanan tersebut, Devan berkata, mereka kelihatan seperti berhati-hati setelah tidak turun beraksi lebih dua minggu apabila juara bertahan itu diberikan bye pada pusingan pertama.
"Memang kita berjaya menguasai keseluruhan permainan tetapi peluang yang kita perolehi pada perlawanan ini tidak begitu banyak. Apa pun sasaran kita untuk menjaringkan satu gol setiap separuh masa tercapai.
"Corak permainan PKNS juga sebenarnya telah menyukarkan kita melakukan serangan pantas kerana apabila pemain Selangor mendapat bola, mereka terus berkumpul di kawasan sendiri," jelas Devan.
Bagi memastikan para pemainnya tidak terlalu keletihan menjelang tiga perlawanan akan datang sepanjang bulan ini, Devan telah mengeluarkan Safee Sali dan Amri Yahyah pada pertengahan babak kedua.