SELANGOR turun bertemu Johor FC pada aksi terakhir pusingan pertama Liga Super di Stadium JCorp, Pasir Gudang malam ini dengan misi memburu tiga mata penuh bagi mengukuhkan kedudukan mereka sebagai pendahulu liga.
Namun, rekod lampau menyaksikan Selangor seakan mempunyai badi di Pasir Gudang apabila mereka gagal meraih kemenangan setiap kali beraksi di situ sejak tiga musim kebelakangan ini.
Kali terakhir Selangor berjaya melakukannya ialah pada aksi playoff Liga Super pada 18 Jun 2006 dengan kemenangan 3-2 ke atas Johor FC.
Namun selepas itu pada aksi Liga Super 2007, Selangor sekadar seri tanpa jaringan dengan Johor FC sebelum mereka tewas dua kali kepada lawan sama iaitu 2-3 pada aksi Liga Super 2008 dan 1-2 pada aksi Liga Super musim lalu.
Pengurus merangkap jurulatih Selangor, K. Devan bagaimanapun berkata, beliau tidak mahu menjadikan badi tersebut sebagai alasan untuk pasukannya gagal mengutip tiga mata penuh pada perlawanan malam ini.
"Saya rasa situasi Selangor pada aksi di Pasir Gudang sebelum ini cukup berbeza berbanding situasi musim ini kerana Selangor kini di tangga teratas dan begitu memerlukan mata penuh untuk mengukuhkan kedudukan.
"Yang penting, pemain-pemain Selangor kini begitu bermotivasi dan fokus untuk menghadapi perlawanan ini dan saya harap mereka akan cuba sedaya-upaya mendapatkan kemenangan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Jelas Devan, barisan 18 pemain yang dibawa ke Pasir Gudang tidak disertai lima pemain iaitu Fitri Shazwan Raduwan, Zaiza Zainal Abidin, Azrine Efendu Saduddin, Fairul Azwan Shahrullail serta kapten pasukan, Amri Yahyah yang masih belum pulih.
Selangor akan bertemu Johor FC sekali lagi pada Jumaat ini di Stadium Shah Alam untuk aksi sulung pusingan kedua saingan Liga Super.