SELANGOR hanya perlu menang empat daripada tujuh baki perlawanan terakhir mereka untuk disahkan sebagai juara Liga Super 2010.
Setelah menewaskan Perlis 2-0 hasil dua jaringan Rudie Ramli di Stadium Shah Alam kelmarin, Selangor kini mempunyai kelebihan lapan mata mengatasi Kelantan dengan mengumpul 50 mata.
Jika Selangor dan Kelantan terus cemerlang dengan menewaskan Johor dan Perak malam esok, mereka masing-masingnya akan mengumpul 53 dan 45 mata.
Detik penentuan akan berlaku pada aksi seterusnya selepas rehat Piala Dunia 2010 iaitu pertemuan Selangor-Kelantan di Stadium Shah Alam pada 13 Julai depan.
Jika Selangor menang, mereka hanya perlu menang dua aksi berikutnya menentang Perak (17 Julai) dan Pulau Pinang (20 Julai) untuk ditabalkan sebagai juara.
Tiga perlawanan terakhir menentang T-Team (24 Julai), Terengganu (31 Julai) dan Kedah (3 Ogos) pula hanya sekadar pelengkap jadual.
Penolong jurulatih Selangor, P. Maniam yang menggantikan ketua jurulatih, K.Devan yang masih digantung tiga perlawanan memuji persembahan pemainnya ketika menewaskan Perlis kelmarin.
"Mereka dilihat begitu bersemangat memburu kemenangan. Rudie beraksi baik dan sepatutnya dia mencatat hatrik tetapi satu lagi gol dibatalkan kerana ofsaid.
"Kami akan terus memburu kemenangan pada aksi menentang Johor selepas ini. Siapa yang akan diturunkan bergantung kepada tahap kecergasan mereka pada sesi latihan Isnin (hari ini)," katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Sementara itu, Rudie yang jarang diletakkan dalam kesebelasan utama Selangor berkata, dua gol yang dijaringkannya kelmarin memberi semula keyakinan kepada dirinya.
"Saya mahu membuktikan yang saya juga layak berada dalam kesebelasan utama."