PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM67,500 terhadap Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan RM57,500 ke atas Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berikutan insiden pergaduhan penyokong kedua-dua pasukan pada perlawanan suku akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Selasa lepas.
Pengerusi khas Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Dr. Omar Othman berkata, FAS didenda kerana melakukan tiga kesalahan manakala KAFA bagi dua kesalahan.
"Setelah meneliti laporan daripada semua pihak, kita dapati bahawa kedua-dua pasukan terbabit di dalam pergaduhan yang berlaku di dalam dan di luar stadium," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Omar yang juga Naib Presiden 1 Persatuan Bola Sepak Pahang berkata, setiap pasukan didenda RM50,000 kerana melanggar peraturan Liga Malaysia.
"FAS dan KAFA juga perlu berkongsi untuk membayar kerosakan Stadium Shah Alam bernilai RM15,000, (iaitu) sebanyak RM7,500 bagi setiap pasukan," katanya.
Beliau berkata, FAS sebagai tuan rumah, turut didenda RM10,000 kerana gagal memenuhi ciri-ciri keselamatan seperti yang ditetapkan oleh peraturan Liga Malaysia.
"Keputusan ini dibuat secara adil kerana ia mengambil kira penjelasan kedua-dua belah pihak, laporan polis dan laporan perlawanan daripada jawatankuasa FAM," katanya.
Omar berkata, FAM berharap agar tindakan terhadap FAS dan KAFA ini akan menjadi pengajaran kepada semua pasukan bola sepak lain yang terlibat dalam saingan Liga Bola Sepak Malaysia.