SELANGOR yang beraksi dalam saingan Piala AFC 2010 tanpa pemain import serta menaruh harapan untuk melangkah ke suku akhir, gagal mengaut kesempatan beraksi di gelanggang sendiri apabila terikat tanpa jaringan dengan Becamex Binh Duong di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Kelab dari Vietnam itu menurunkan tiga pemain import, antaranya pemain kelahiran Brazil yang mendapat kerakyatan Vietnam, Huynh Kesley Alves, pertahanan Nigeria, Egbo Esita dan penyerang dari Afrika Selatan, Philani Bhekizizwe Kubheka.
Namun, corak permainan berhati-hati dipraktikkan kedua-dua pasukan bagi sebahagian besar separuh masa pertama itu membuatkan rentak permainan agak perlahan apabila hanya sesekali disulami dengan serangan.
Bagaimanapun, ketika perlawanan bersambung, segala-galanya berubah apabila Selangor mula tampak lebih bertenaga melakukan asakan sehingga hampir menghukum Becamex Binh Duong pada minit ke-58 apabila tendangan Mohd Safee Sali terkena tiang.
Asakan Selangor itu membuatkan Becamex Binh Duong yang turut dikenali sebagai ‘Chelsea Vietnam’ kerana memiliki kekayaan serta pernah mara ke separuh akhir kejohanan sama tahun lalu, mula bangkit melancarkan serangan.
Begitupun, serangan yang mereka lancarkan dapat dipatahkan pertahanan Selangor yang diketuai Khairul Anuar Baharom.