Biarpun tewas 0-4 kepada kelab Indonesia, Sriwijaya dalam saingan Piala AFC 2010, kelmarin ada perkembangan positif yang diperoleh K. Devan pada pertemuan tersebut.
Jurulatih Selangor itu berkata, pemain mudanya telah menunjukkan peningkatan prestasi pada perlawanan tersebut.
Katanya, rata-rata barisan pemain yang diturunkan pada pertemuan menentang Sriwijaya adalah pemain simpanan dan mereka dan tidak kekok untuk memberi tentangan.
"Ramai pemain simpanan dan pemain muda diturunkan pada perlawanan ini (menentang Sriwijaya).
"Mengambil kira kedudukan Selangor yang sudah tidak berpeluang lagi meneruskan langkah dalam kejohanan Piala AFC 2010, saya mengambil keputusan untuk menurunkan pemain muda.
"Saya ingin memberi mereka pendedahan dan menimba pengalaman apabila beraksi di kejohanan lebih tinggi.
"Ternyata ada perkembangan di kalangan pemain ini dan kerana hanya sedikit kelekaan di barisan pertahanan, kami tumpas di tangan Sriwijaya," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Jelasnya, beberapa pemain simpanan seperti Mohd. Fitri Shazwan Raduwan, Mohd. Asraruddin Putra Omar, Farderin Kadir, Safiq Rahim, Mohd. Zaiza Zainal Abidin dan Azrine Efendy Sa'dud Din telah mempamerkan persembahan baik.
Katanya, pemain-pemain tersebut mampu mengawal bola dengan baik dan melakukan beberapa gerakan sempurna.
Namun begitu, katanya, kekebalan benteng pertahanan Sriwijaya ternyata menyukarkan pemain Selangor untuk memperoleh peluang terbaik bagi menghasilkan jaringan.