SELEPAS dipalit prestasi hambar ketika aksi Piala FA, Sabtu lalu, Selangor terus diuji dan kali ini berdepan dengan kelab dari Vietnam, Becamex Binh Duong, pada perlawanan pembukaan peringkat Kumpulan F Piala AFC 2010 di Shah Alam, malam ini.
Selain perlawanan bagi menguji keupayaan Selangor mengharungi perlawanan peringkat antarabangsa, ia tidak lebih kepada menguji percaturan jurulatih, K Devan yang kini berdepan cabaran getir kerana beliau perlu membawa Selangor, sekurang-kurangnya mara ke suku akhir.
"Pengurusan memutuskan untuk meletakkan sasaran mara ke suku akhir. Kami sedar, pertarungan ini bukan mudah kerana kami hanya dibarisi pemain tempatan.
"Berbanding kelab lain seperti Becamex Binh Duong, mereka mempunyai pemain import dan saya sudah meletakkan percaturan tepat bagi memastikan anak buah saya meraih kemenangan, terutama ketika beraksi di laman sendiri.
"Ini cabaran bagi saya. Tapi, saya percaya dengan pengalaman pemain, walaupun kita melihat Becamex Binh Duong cukup terkenal di negara mereka," katanya.
Selangor menjadi wakil tunggal negara melangkah ke Piala AFC selepas Perlis menarik diri - diundi dalam Kumpulan F bersama Sriwijaya dari Indonesia dan kelab Maldives, Victory FC.
Walaupun bersaing bersendirian dalam kejohanan benua Asia ini, Selangor tidak sesekali berasa ‘sepi’ sebaliknya, mereka meletakkan harapan untuk meraih peluang keemasan dalam kejohanan ini.
Deretan perlawanan liga tempatan selain faktor kepenatan pemain perlu diambil kira, memandangkan mereka hanya memiliki tempoh rehat dua hari sebelum beraksi pada kejohanan ini.
Begitupun, Devan yang sedar masalah itu, pantas meletakkan sesuatu ke atas semua pemainnya supaya mereka kelihatan cergas seperti perlawanan sebelum ini.
"Memang kita akui pemain berdepan jadual perlawanan padat. Kita bersaingan dalam Piala FA dan dua hari kemudiannya, Piala AFC. Sabtu ini, kita berdepan perlawanan Liga Super (menentang Pulau Pinang).