| Kesilapan sendiri membawa padah | |
|
|
TERLALU selesa dengan empat kemenangan berturut-turut sebelum ini mungkin menjadi faktor kekalahan Selangor kepada Terengganu kelmarin, lapor WAN FAKHRUL BAKAR. Sikap memandang mudah telah memakan diri sendiri dan akhirnya rekod cemerlang mereka dalam empat perlawanan berturut-turut lebur. Selangor bukan saja menerima kekalahan sulung musim ini, malah turut dimalukan dengan kekalahan yang cukup besar iaitu 0-4. Pengurus dan jurulatih Selangor, K. Devan bagaimanapun menganggap kekalahan itu bukan semata-mata disebabkan kehebatan Terengganu tetapi lebih kepada kesilapan mereka sendiri. "Saya rasa bukan kehebatan Terengganu tetapi kesilapan Selangor sendiri kerana selepas menang empat kali, pendekatan pemain untuk menghadapi Terengganu kurang baik dari segi persiapan mental mereka," kata Devan. Persembahan Selangor malam kelmarin serba tidak menjadi dengan jentera tengah yang diketuai Hardi Jaafar gagal menjana serangan dan pada masa yang sama turut gagal menyerap asakan lawan. Tambah Devan, aksi pemainnya pada perlawanan tersebut juga merupakan yang terburuk setakat ini. "Memang Terengganu layak untuk menang perlawanan ini kerana barisan pertahanan Selangor membuat banyak kesilapan. "Walaupun Selangor ada juga mencipta peluang tetapi sentuhan penyudah kita kurang baik," ujar Devan. Hajat Devan untuk bangkit selepas ketinggalan 0-2 tidak kesampaian selepas supersub, R. Surendren yang dimasukkan pada minit ke-66 hanya beraksi lima minit sebelum dia mengalami kecederaan dan ia memaksa Selangor beraksi dengan 10 pemain sehingga tamat perlawanan. Selangor wajib mencatat kemenangan ke atas Johor di Stadium Shah Alam malam esok dan Perlis di Kangar, Sabtu ini bagi memastikan kedudukan mereka di tangga teratas terus terjamin sebelum saingan Liga Super berhenti rehat. |