BENAR-BENAR ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Tewas di suku akhir Piala Malaysia, dibelasah teruk pada Kejohanan Piala Sultan Selangor dan pagi semalam, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dikenakan denda RM60,000 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) gara-gara insiden kekecohan yang berlaku di Stadium Shah Alam, 12 Oktober lalu.
Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) pula dikenakan denda RM50,000 oleh badan induk kebangsaan itu selepas turut didapati bersalah dalam insiden berkenaan. Selain itu, kedua-dua pasukan bakal dikenakan denda tambahan sebanyak RM7,500 untuk membaiki pelbagai kerosakan yang berlaku di Stadium Shah Alam.
FAS dikenakan denda tambahan RM10,000 lebih daripada yang dikenakan terhadap Kafa kerana selaku tuan rumah, FAS didakwa gagal menyediakan kawalan keselamatan yang lebih efektif mengakibatkan segelintir penyokong bergaduh di luar stadium.
Setiausaha Agung FAS, Datuk Hamidin Mohd Amin ketika dihubungi berkata, pihaknya akur dengan keputusan itu dan berjanji untuk menyediakan kawalan keselamatan yang lebih ketat lagi pada masa akan datang.
“Kita akan memastikan insiden seperti kejadian pada Selasa lalu itu tidak berulang lagi pada masa akan datang. Kita akan memikirkan langkah-langkah yang perlu untuk membendungnya.
“Untuk mengelak insiden pergaduhan di luar stadium memanglah sesuatu yang sukar tetapi kita akan mencari jalan terbaik untuk mengatasinya nanti,” kata Hamidin yang juga Naib Presiden FAM itu.
Semalam, Pengerusi sementara Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Dr Omar Othman berkata FAS dikenakan denda sebanyak RM67,500 (termasuk kerosakan stadium) kerana didapati bersalah atas tiga pertuduhan manakala KAFA pula dikenakan denda RM57,500 bagi dua kesalahan.
“Selepas meneliti laporan daripada semua pihak, JKPT mendapati kedua-dua pasukan bersalah hingga menyebabkan pergaduhan yang berlaku di dalam dan luar stadium,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas JKPT di Wisma FAM, pagi semalam.
Omar yang juga Naib Presiden 1 Persatuan Bola Sepak Pahang itu berkata, setiap pasukan didenda RM50,000 kerana melanggar peraturan Liga Malaysia dan FAS serta Kafa juga perlu berkongsi untuk membayar kerosakan Stadium Shah Alam yang dianggarkan bernilai RM15,000. Oleh itu, FAS dikenakan denda tambahan sebanyak RM7,500 dan Kafa RM7,500.
“Keputusan ini dibuat secara adil kerana kami mengambil kira penjelasan daripada kedua belah pihak, laporan polis dan laporan perlawanan daripada jawatankuasa FAM,” katanya.